Saya ingin bertanya, apakah hukum seorang Muslim memakai topi Yahudi atau kippah? Mohon penjelasan.
Jawapan: Kippah atau juga dikenali sebagai yarmulke merupakan penutup kepala berbentuk bulat kecil yang kebiasaannya dipakai oleh kaum lelaki Yahudi sebagai simbol keagamaan dan identiti agama Yahudi. Dalam hal ini, terdapat larangan terhadap umat Islam untuk menyerupai penganut agama lain dalam perkara seperti pakaian khusus mereka, ibadah dan ritual mereka berdasarkan satu hadis. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia daripada kalangan mereka. (Riwayat Abu Daud)
Ini seperti yang disebutkan dalam kitab al-Mafatih fi Syarh al-Masabih bahawa: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia daripada kalangan mereka.” bermaksud seseorang yang sengaja menyerupakan dirinya dengan orang kafir dalam pakaian atau perkara lain yang diharamkan, maka jika dia meyakini bahawa perbuatan tersebut halal maka hukumnya adalah kafir, adapun jika dia meyakini perkara itu haram, maka dia berdosa (dengan perbuatan tasyabbuh tersebut).
Selain itu, Dr. Samiah Abdullah Bukhari dalam kajiannya menyatakan bahawa larangan tasyabbuh ini khusus kepada pakaian atau perbuatan yang menjadi khusus bagi agama tertentu.
Namun begitu, sekiranya ia tidak termasuk daripada perkara yang khusus bagi agama tertentu, maka tiada larangan pada perkara tersebut seperti yang disebutkan oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bari berkaitan pakaian taylasan.
Beliau berkata: “Sesungguhnya sesuai untuk menjadikan kisah Yahudi tersebut sebagai dalil (keharusan memakai taylasan), pada masa ketika tayalisah (sejenis pakaian) yang menjadi syiar mereka pada satu ketika dahulu, telah tidak lagi sedemikian pada zaman ini.
Maka, ia termasuk dalam perkara umum yang diharuskan syarak.
Berdasarkan pemerhatian, pakaian kippah berbentuk topi kecil yang dipakai oleh orang Yahudi ini masih lagi menjadi pakaian dan simbol khusus bagi agama mereka.
Hal ini kerana, ia tidak dipakai secara meluas oleh mana-mana golongan lain dan sangat sinonim dengan golongan beragama Yahudi sahaja.
Oleh yang demikian, perbuatan memakai topi Yahudi atau kippah itu termasuk dalam pengharaman tasyabbuh dengan pakaian dan perbuatan bagi agama lain seperti yang disebutkan di dalam hadis.
Secara kesimpulannya, hukum seseorang Muslim memakai topi Yahudi tersebut adalah haram dan berdosa dan jika dia telah melakukannya, maka hendaklah beristighfar dan kembali bertaubat kepada Allah SWT serta berazam untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut di masa hadapan.
















