JELEBU – Jemaah yang menunaikan solat zuhur di Masjid Jamek Kuala Klawang pada 30 Oktober lalu diwajibkan mengqada solat berkenaan selepas didapati tidak sah kerana solat Jumaat masih boleh dilaksanakan.
Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin berkata, keputusan itu dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan selepas bermuzakarah semalam bagi meneliti isu kegagalan mendirikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Menurutnya, solat Jumaat merupakan kewajipan fardu ain ke atas setiap lelaki Muslim yang memenuhi syarat, termasuk mukallaf, merdeka dan bermastautin.
Beliau berkata, masjid atau surau yang telah ditetapkan pihak berkuasa agama sebagai tempat pelaksanaan solat Jumaat wajib menjadi lokasi umat Islam menunaikan ibadat berkenaan apabila segala syaratnya dipenuhi.
“Setiap individu yang memenuhi syarat kewajipan solat Jumaat tidak dibenarkan menunaikan solat Zuhur sebagai ganti kepada solat Jumaat selagi mana solat Jumaat masih boleh didirikan dalam tempoh waktu Zuhur di tempat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, solat Zuhur yang ditunaikan pada hari Jumaat tanpa keuzuran dibenarkan syarak sedangkan kewajipan solat Jumaat masih tertanggung ke atas individu berkenaan adalah tidak sah.
Sehubungan itu, individu yang telah menunaikan solat Zuhur dalam keadaan tersebut diwajibkan mengqada semula solat berkenaan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya tidak mengambil mudah kewajipan solat Jumaat, selain mengutamakan pelaksanaan ibadat dan mengelakkan perselisihan ketika berada di masjid atau surau.
Kosmo! Online, 30 Oktober lalu melaporkan kira-kira 250 jemaah di sebuah masjid di Masjid Jamek Kuala Klawang, di sini, tidak menunaikan solat Jumaat hari ini, sebaliknya menunaikan solat zuhur susulan peletakan jawatan imam yang ‘keberatan’ membaca nama Undang Luak Jelebu yang baharu dalam khutbah Jumaat.-KOSMO! ONLINE
















