IPOH – Perak terus memperkukuh pembangunan gerakan koperasi sekolah menengah negeri ini yang berstatus mikro berpendapatan bawah RM200,000 melalui penyediaan peruntukan progresif berjumlah RM100,000.
Pelaksanaan Program Pemerkasaan Ekonomi Koperasi Sekolah (PERKS) Negeri Perak Tahun 2026 itu merupakan yang pertama kali diadakan tersebut melibatkan 25 koperasi sekolah terpilih di seluruh negeri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed, program tersebut berbentuk dua dalam satu iaitu mengupayakan koperasi sekolah dan pelajar-pelajar yang terpilih akan menerima manfaat keperluan persekolahan.
“Program ini merupakan antara inisiatif bagi merangsang aktiviti perniagaan koperasi sekolah, meningkatkan nilai jualan dan transaksi serta memperkukuh kedudukan kewangan koperasi sebagai institusi ekonomi pendidikan yang mampan.
“Pelaksanaan PERKS 2026 memberi tumpuan kepada pengukuhan aktiviti perniagaan koperasi sekolah melalui mekanisme baucar pembelian bernilai RM50 kepada anggota pelajar koperasi yang layak,” katanya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pemerkasaan Ekonomi Koperasi Sekolah (PERS) Tahun 2026. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan cek cura kepada 25 sekolah menengah tersebut.
Katanya, baucar tersebut boleh ditebus di koperasi sekolah yang mengambil bahagian bagi mendapatkan keperluan persekolahan yang dibenarkan.
“Melalui peruntukan ini, seramai 2,000 anggota pelajar koperasi sekolah disasarkan menerima manfaat program manakala 25 koperasi sekolah terpilih akan bertindak sebagai pelaksana bagi memastikan aktiviti penebusan baucar dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri Perak dalam menyokong pembangunan perniagaan koperasi serta memperluas peluang kepada koperasi sekolah untuk meningkatkan aktiviti ekonomi, menambah pusingan modal dan menggalakkan penglibatan anggota pelajar dalam kegiatan berkoperasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















