RAWANG – Lelaki terlibat amalan ritual agama bukan Islam diarahkan menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di sini hari ini.
Keputusan itu dibuat Hakim Syarie, Mohd. Faizal Habib selepas tertuduh, Aliff Daniel Adli, 21, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pemujaan salah iaitu dengan menjunjung alat keagamaan lain, melakukan ritual mencucuk anggota badan dan berlutut dengan kedua-dua tangan dirapatkan ke dada di hadapan patung.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah kuil di Batu Caves, di sini, antara pukul 9 dan 11 malam, 24 Januari 2024.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Mohd. Faizal menasihatkan pemuda itu untuk bertaubat selain mengingatkannya agar tidak mensia-siakan usia muda dengan perkara tidak berfaedah.
“Kesalahan yang kamu lakukan ini, bukan sekadar kesalahan yang lazim dilakukan dalam kesalahan-kesalahan jenayah. Ini melibatkan akidah, melibatkan tauhid kamu sebagai seorang Islam.
“Mahkamah menasihatkan kamu untuk bertaubat, taubat yang sebenar-benar taubat yang disebut sebagai taubat nasuha.
“Di usia kamu yang masih muda ini, banyak lagi perkara yang perlu kamu lihat daripada perkara-perkara yang tidak sewajarnya, dalam konteks kamu sebagai seorang yang beragama Islam,” katanya.
Susulan itu, mahkamah memerintahkan Aliff Daniel menjalani tempoh pemulihan selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, berkuat kuasa hari ini.
Pendakwa Syarie, Zamniazura Mohd. Sarin mencadangkan mahkamah mengguna pakai peruntukan Seksyen 54(1) enakmen sama memandangkan kesalahan melibatkan isu akidah memerlukan bimbingan serta pemulihan yang berterusan.
Seksyen itu membolehkan mahkamah menggantikan hukuman penjara dan denda terhadap individu yang disabitkan bersalah kepada perintah pemulihan atau kaunseling di pusat pemulihan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.
Bagaimanapun, Aliff Daniel yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah hanya mengenakan hukuman denda minimum atas alasan dia yang perlu menjaga ibu tidak mempunyai pendapatan tetap.
Dia juga memohon agar diberikan bimbingan agama selain menegaskan sudah bertaubat dan tidak lagi melakukan sebarang perbuatan syirik yang bertentangan dengan hukum syarak.
“Saya perlu menjaga ibu dan adik. Saya seorang sahaja lelaki yang boleh menjaga ibu selepas pembedahan. Saya juga ada masalah kesihatan.
“Saya juga nak menyatakan di sini, yang saya memang sudah tidak melakukan benda-benda yang menentang hukum syarak dan syirik ini.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semuka jes bagi laporan pemulihan pada 25 Februari 2027. – KOSMO! ONLINE
















