WASHINGTON – Parti Demokrat menguasai Kongres Amerika Syarikat (AS) sekali gus merampas kedudukan di Senat dan Dewan Perwakilan, dengan penolakan terhadap Presiden Donald Trump di seluruh negara bakal menamatkan dua tahun pentadbiran beliau.
Kemenangan besar Parti Demokrat akan memberi pembangkang kuasa untuk menyekat sebarang perundangan, melancarkan siasatan meluas terhadap pentadbiran Trump dan menghalang pelantikan jawatan kehakiman serta kerajaan.
Keputusan itu mencerminkan kemarahan mendalam rakyat terhadap kos sara hidup, tarif dan perang Trump terhadap Iran yang menyebabkan harga bahan api melonjak serta meningkatkan lagi rasa tidak puas hati terhadap Presiden yang sememangnya berdepan tahap populariti rendah.
“Saya sangat gembira. Saya sangat bersemangat,” kata seorang pembantu guaman, Michael Diaz, 22, di Georgia yang meraikan kemenangan besar ahli Senat daripada Parti Demokrat, Jon Ossoff.
Trump mengambil pendekatan lebih berdamai walaupun beliau pernah mempertikaikan keputusan pilihan raya, dengan memberitahu akhbar The New York Times bahawa beliau ‘bersedia sepenuhnya’ untuk menerima keputusan tersebut.
“Saya fikir Demokrat melakukan kerja yang baik. Mereka berjuang dengan sehabis baik,” kata Presiden berusia 80 tahun itu kepada Fox News, satu pujian kepada pesaingnya yang jarang berlaku.
Namun, beliau cuba memisahkan dirinya daripada prestasi buruk Parti Demokrat dengan berkata: “Saya tidak menganggap keputusan itu sebagai tamparan hebat kepada saya.”
Trump mengakui konflik dengan Iran menyumbang kepada kekalahan tersebut di samping kekal mempertahankan tindakan kempen ketenteraan itu. – AFP
















