fbpx
Rafizi (tengah) ditemui pemberita di luar pekarangan Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini

Isu mafia korporat: Rafizi ke Bukit Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli hadir di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman di sini hari ini bagi memberikan keterangan berhubung ucapannya pada ceramah di Selayang, Selangor, bulan lepas.

Rafizi yang juga pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama) tiba pada 10.57 pagi dengan ditemani tiga peguam, iaitu Nik Zarith Nik Mustapha, Adi Zulkarnain Zulkafli dan Wan Ahmad Qushairi Adzmi.

Semalam, Rafizi menerusi kenyataan mengesahkan menerima notis daripada polis untuk hadir bagi dirakam keterangan susulan laporan yang dibuat pada 22 Okt berhubung ceramah pada 20 Okt.

Rafizi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan fitnah jenayah serta Seksyen 505 kanun sama kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Notis siasatan polis itu antara lain berkait ucapan ceramah yang didakwa membangkitkan beberapa dakwaan termasuk isu berkaitan mafia korporat serta dakwaan pembayaran wang berjumlah RM9.5 juta kepada seorang pemimpin politik.

Dalam pada itu, Rafizi memaklumkan dirinya bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dan sanggup membatalkan program kempen di Melaka untuk memberikan keterangan hari ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN