Madu merupakan makanan sunah Rasulullah SAW yang mempunyai banyak kebaikan, manakala haiwan sinonimnya
iaitu lebah juga diabadikan sebagai nama surah dalam al-Quran iaitu An-Nahl.
Madu merupakan makanan tambahan yang diamalkan oleh orang ramai kerana memiliki pelbagai khasiat untuk tubuh badan seperti menambah stamina, membantu mengurangkan gejala penyakit dan melancarkan penghadaman.
Proses penghasilan madu yang rumit boleh menyebabkan madu dijual pada harga yang mahal. Minggu ini CitaRasa kongsikan lima madu termahal di dunia sebagaimana dikongsikan portal-portal lain antaranya Prestigeonline.com.
1) Madu Centauri (RM67,300 sekilogram)
Madu termahal di dunia ialah madu Centauri yang menjadi buruan ahli politik, kerabat diraja dan juga doktor dari seluruh dunia. Ia disahkan sebagai madu termahal oleh Guinness World Records pada 2021.
Jika madu lain menjadi pilihan kerana rasanya yang enak, madu Centauri dari Turkiye ini pula diburu kerana manfaat kesihatannya yang dikatakan mampu mencegah kanser dan meningkatkan imuniti tubuh.
Cecair berwarna keemasan ini tidak mudah ditemui memandangkan proses perahan madu ini hanya berlaku pada kedalaman antara 10 hingga 500 meter di bawah permukaan gua.
Ia juga mempunyai pelbagai rasa seperti rasa bunga-bungaan, manis dan berkrim atau pahit seperti ubat.
2) Madu Elvish (RM27,700 sekilogram)
Madu Elvish juga dihasilkan oleh lebah gua khususnya di wilayah Laut Hitam Turkiye.
Proses penuaian yang rumit berlaku di lembah paling padat di Pergunungan Laut Hitam yang memerlukan para penuai untuk mendaki selama dua jam dan berjalan kaki selama enam jam.
Paduan rasa vanila, asap dan biji koko yang harmoni pada madu ini menghasilkan produk madu dengan rasa yang cukup enak.

3) Madu Cave (RM7,200 sekilogram)
Madu gua secara asasnya merupakan madu yang jarang ditemui dan dijual pada harga yang mahal.
Ini kerana proses penghasilannya adalah semula jadi dan tidak memerlukan tenaga manusia. Madu ini dihasilkan menggunakan lebah jenis ganjil yang tinggal di dalam gua gelap dan hanya makan herba dengan khasiat ubat menjadikan madu ini kaya dengan potasium, phenol magnesium dan antioksida.
Ia juga mempunyai warna yang gelap dengan rasa yang sedikit pahit.
4) Madu Himalaya Mad (RM3,300 sekilogram)
Madu Himalaya Mad dituai setahun sekali di sebuah kawasan terpencil di Lamjung, Nepal.
Ia dihasilkan oleh jenis lebah terbesar di dunia iaitu Apis Laboriosa, yang mendapatkan nektar dari hutan Rhododendron Himalaya.
Daripada banyak manfaat kesihatan yang diperoleh daripada madu, kesan halusinogen yang diperoleh daripada Madu Himalaya Mad adalah benar-benar unik.
5) Madu Manuka Comvita (RM2,300 sekilogram)
Madu Manuka Mentah UMF Comvita merupakan antara madu termahal di dunia kerana hanya dituai pada waktu spesifik iaitu antara dua hingga enam minggu setahun.
Sarang lebah bagi penghasilan madu ini juga terletak di lokasi terpencil di New Zealand yang merupakan lokasi di mana bunga Manuka boleh tumbuh mekar.
Madu Manuka Comvita juga merupakan jenama yang dipercayai kerana khasiatnya.
















