PETALING JAYA – Gara-gara beberapa laluan ditutup akibat banjir, seorang pengguna Threads terpaksa berpusing hampir sejam ketika dalam perjalanan ke pejabat di Seksyen 13, Shah Alam, hari ini.
Situasi itu tular selepas pengguna tersebut, @yayatoya_ berkongsi pengalaman berdepan kesukaran untuk ke tempat kerja susulan beberapa laluan yang didakwa tidak dapat dilalui akibat dinaiki air.
“Dah sejam pusing-pusing nak pergi office semua jalan tutup. Seksyen 13 Shah Alam naik air,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna media sosial yang turut meluahkan rasa kecewa apabila isu banjir di sekitar Shah Alam dilihat masih berulang.
Rata-rata netizen turut berkongsi pandangan mengenai masalah banjir berkenaan, malah ada yang berseloroh penduduk setempat seolah-olah perlu memakai pakaian renang untuk ke pejabat.
Seorang pengguna turut membangkitkan isu kerosakan kenderaan akibat banjir selain mempersoalkan pihak yang perlu menanggung kos pembaikan sekiranya kenderaan rosak selepas meredah air.
“Ambil cuti kecemasan (EL) sahaja kak, kalau kereta rosak syarikat tak bayar pun,” jelas pengguna tersebut.
Malah, ada juga netizen mengingatkan bahawa isu banjir di Selangor bukan perkara baharu dan memerlukan penyelesaian lebih berkesan bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang.
Tinjauan menerusi perkongsian berkenaan turut menunjukkan beberapa kawasan sekitar Seksyen 13 dinaiki air sehingga menjejaskan pergerakan pengguna jalan raya.-KOSMO! ONLINE
View on Threads
















