KUALA LUMPUR – “Saya tiada sebarang arahan dan tidak pasti mengenai status semasa. Saya tiada menerima sebarang arahan berhubung denda itu”.
Demikian dimaklumkan Peguam mewakili Datuk Seri Najib Razak, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mengesahkan beliau tiada menerima sebarang arahan daripada anak guamnya untuk membayar denda RM50 juta bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Kehadiran Muhammad Farhan di kompleks mahkamah di sini, hari ini, mencetuskan spekulasi bahawa denda itu bakal dibayar.
Peguam itu memaklumkan bahawa beliau berada di situ untuk urusan lain, namun menerima banyak mesej yang meminta penjelasannya berhubung desas-desus pembayaran denda terbabit.
“Saya memang tiada maklumat. Jika ada pihak ketiga yang mahu membuat pembayaran itu sekalipun, sepatutnya saya dimaklumkan,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah.
Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada denda itu bakal dibayar hari ini, selain siapa dan bila pembayaran berkenaan akan dibuat sekiranya perkara berkenaan berlaku.
Beberapa petugas media dilihat sedang menunggu di lobi kompleks mahkamah, namun dilarang memasuki kawasan kaunter pembayaran.
Anggota polis turut ditempatkan di kawasan lobi berkenaan.
Terdahulu, Najib dilaporkan akan membayar denda RM50 juta bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
















