KUALA LUMPUR – Pelakon Datuk Mustapha Kamal tidak menyangka watak ‘Papa Megah Holdings’ meninggalkan impak besar terhadap penonton drama tempatan sehingga menjadi bualan ramai dalam media sosial khususnya Threads.
Menurut Mustapha, 64, dia kini ramai yang memanggilnya dengan gelaran ‘papa’ selain ada juga berhasrat mahu menjadi anak kepada watak usahawan berjaya itu.
“Saya sendiri terkejut dengan penerimaan netizen. Bukan sahaja golongan muda, malah mereka yang dewasa juga beri reaksi sama.
“Mereka menganggap situasi ‘Megah Holdings’ sebahagian daripada kehidupan harian sehingga terbawa-bawa dalam dunia realiti.
“Sejujurnya, saya tidak pernah berniat untuk mencetuskan fenomena dalam Threads. Namun, apabila perkara ini berlaku, saya ikutkan sahaja. Saya melayan dan membalas setiap komen kerana mereka begitu teruja,” katanya ketika ditemui pada majlis Tokoh Perfileman Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia ke-35, di sini, semalam.
Mustapha berkata, disebabkan watak tersebut, dia kini mempunyai ‘anak’ yang begitu ramai malah ada juga yang meminta nasihat berkaitan hal perniagaan.
Disebabkan hal tersebut, dia mendedahkan terpaksa merujuk Google bagi memahami beberapa istilah perniagaan tertentu sebelum memberi respons kepada sebarang pertanyaaan kepada netizen.
“Kadang-kadang dalam komen media sosial, mereka bertanyakan soalan serius mengenai perniagaan.
“Saya sendiri perlu mencari maksud istilah bisnes berkenaan dalam Google supaya dapat memberikan jawapan yang tepat. Secara tidak langsung, menjadi satu tugas pula buat saya.
“Biasanya, saya akan meluangkan masa membalas pertanyaan dan melayan usikan mereka selepas selesai menunaikan solat Subuh. Itulah waktu yang saya ada untuk melayan ‘anak-anak’ online saya ini,” katanya lagi.
Mengulas sama ada berasa terkilan apabila sering dikaitkan dengan karakter sama, Mustapha berkata, dia tidak pernah menganggap perkara itu sebagai satu masalah.
“Mereka tahu saya pernah membawakan pelbagai watak, cuma karakter ahli perniagaan itu yang lebih mendapat perhatian.
“Saya tidak kisah selagi masih mampu menghiburkan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mustapha bakal memulakan penggambaran drama bersiri enam episod berjudul Badang untuk siaran Astro pada 20 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE
















