fbpx
Nora mendedahkan sudah mendapat 'lampu hijau' daripada anak sulung untuk berkahwin lagi. - FAISOL MUSTAFA

‘Dia tak mahu saya sunyi’ – Nora dapat ‘lampu hijau’ kahwin lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Belum bertemu pengganti, pelakon Nora Danish mengakui sudah mendapat ‘lampu hijau’ anaknya, Putra Rayqal yang mahu melihat ibunya kembali mendirikan rumah tangga.

Nora atau nama lengkapnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 44, berkata, putera sulung yang kini berusia 17 tahun itu secara terbuka menyuarakan hasrat agar dia kembali bergelar isteri kerana enggan melihatnya kesepian.

“Anak sulung saya selalu cakap, mummy (panggilan ibu), saya rasa mummy patut berkahwin lagi kerana saya tak mahu mummy sunyi.

“Dia faham apabila sudah besar nanti, dia juga akan mempunyai kehidupan sendiri.

“Sebab itu dia selalu sarankan agar saya supaya berkahwin agar tak keseorangan,” katanya ketika ditemui pada majlis tahlil Allahyarham Tun Hasmah di Yayasan Kepimpinan Perdana, baru-baru ini.

Tidak pernah menutup pintu hati, ibu tunggal kepada dua anak itu turut menyerahkan soal jodoh sepenuhnya kepada ketentuan Allah.

Malah dia juga sentiasa berdoa agar dikurniakan pasangan yang baik selain mampu membawanya ke arah kehidupan yang diredai.

“Saya memang sentiasa berdoa semoga Allah peliharakan saya dengan cara yang baik di mata-Nya. Itu paling penting.

“Tak kisahlah siapa pun, selagi Allah kata itu yang terbaik — saya akan merelakan dan membuka pintu hati,” katanya.

Malah, Nora juga menjelaskan anak-anaknya tidak pernah mencampuri urusan peribadi atau menilai lelaki yang dikaitkan dengannya.

Mengulas kemungkinan menjalin hubungan dengan selebriti, katanya sejak dahulu dia menganggap rakan-rakan dalam industri hiburan sebagai teman sekerja sahaja.

Katanya, dia tidak pernah menetapkan kriteria bahawa pasangan hidupnya mesti daripada kalangan orang luar industri, sebaliknya percaya soal jodoh sudah ditentukan oleh Allah.

“Saya tak kisah jodoh saya siapa pun. Cuma naluri saya dari awal memang melihat rakan sekerja sebagai teman seperjuangan semata-mata.

“Cuma kita tak tahulah kalau Allah tentukan hati saya suatu hari nanti dengan lelaki yang sama profesion,” ujarnya

Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan Putra Rayqal sebelum bercerai dua tahun kemudian.

Pada 2017, dia mendirikan rumah tangga dengan Nedim Nazri tetapi perkahwinan mereka berakhir pada 19 Jun 2024. Mereka mempunyai seorang putera, Neqayl. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN