fbpx
Wanita mengalami keguguran dikategorikan berada dalam keadaan nifas dan wajib mandi wajib. – Gambar hiasan

Adakah keguguran perlu mandi wajib?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DOKTOR mengesahkan bahawa saya mengalami keguguran janin pada usia kandungan minggu ke-15. Situasi ini perlu kepada prosedur perubatan yang dilakukan untuk membersihkan rahim dilation and curettage (D&C). Setelah selesai prosedur tersebut dan darah berhenti, adakah saya perlu mandi wajib? Mohon pencerahan.

JAWAPAN: Para ulama fiqh telah menjelaskan beberapa keadaan yang mewajibkan seseorang Muslim untuk melakukan mandi wajib.

Berikut merupakan sebab-sebab yang perlu mandi wajib iaitu kematian, haid, nifas, wiladah walaupun kering darah (tidak basah), junub dengan masuknya hasyafah (kepala zakar) atau kadarnya ke dalam faraj dan keluar mani dengan cara biasa atau apa-apa cara.

Nifas merupakan sebab yang mewajibkan mandi. Persoalannya, adakah darah yang keluar akibat keguguran boleh dikategorikan sebagai nifas dan juga termasuk dalam konsep wiladah (kelahiran)?

Oleh itu, perkara yang perlu diperhalusi adalah definisi nifas itu sendiri menurut mazhab Syafi’i.

Dari segi bahasa nifas ialah wiladah (kelahiran), manakala nifas menurut syarak ialah darah yang keluar daripada rahim wanita disebabkan kelahiran setelah kosongnya rahim daripada kehamilan atau segumpal darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah), di mana darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin.

Berdasarkan definisi tersebut, jelas menunjukkan nifas itu bukan sekadar akibat kelahiran bayi yang sempurna, malah melibatkan keluar bentuk janin mengikut fasa tumbesaran janin/embrio dalam rahim yang berperingkat.

Firman Allah: “Kemudian Kami ciptakan air benih (nutfah) itu menjadi menjadi segumpal darah (‘alaqah). Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging (mudhgah); kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.” (Surah al-Mu’minun 14)

Justeru, menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi‘i, wanita mengalami keguguran tetap perlu mandi wajib, walaupun yang keluar hanyalah dalam bentuk segumpal darah.

Hal ini turut ditegaskan oleh Imam al-Nawawi yang menyatakan bahawa keguguran berbentuk ketulan tersebut termasuk dalam hukum nifas.

Oleh itu, sekiranya bidan atau doktor pakar mengatakan bahawa segumpal darah atau ketulan daging yang keluar adalah peringkat permulaan janin, maka darah selepasnya adalah nifas.

Selain itu, pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’i menyatakan bahawa sekiranya seorang wanita bersalin tanpa darah sekalipun, dia tetap dikira berhadas besar dan diwajibkan mandi junub.

Kesimpulannya, wanita yang mengalami keguguran, walaupun yang keluar hanya berbentuk ‘alaqah (segumpal darah) atau mudghah (segumpal daging), tetap dikategorikan berada dalam keadaan nifas dan wajib mandi wajib setelah darah berhenti.

Bagi memastikan rahim benar-benar kosong daripada sisa kehamilan, prosedur pembersihan rahim perlu dilakukan mengikut saranan pakar perubatan agar keseluruhan kandungan dikeluarkan.

Hal ini selaras dengan konsep nifas iaitu keluarnya darah selepas rahim kosong daripada kehamilan, sama ada berupa alaqah atau mudghah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN