fbpx
PENA menandatangani surat peletakan jawatannya di Asuncion semalam. – AFP

‘Ibarat korek duit tabung’, Presiden Paraguay letak jawatan skandal Ueno Bank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ASUNCION  – Pemimpin Paraguay, Santiago Pena mempunyai kerjaya yang cemerlang,  bermula daripada seorang pakar ekonomi IMF kepada menteri kewangan sehinggalah dipilih menjadi presiden termuda dalam sejarah negara Amerika Selatan itu.

Namun,  tiada siapa tahu apa yang bakal berlaku seterusnya kepada lelaki berusia 47 tahun itu susulan percubaan beliau untuk meletak jawatan ketika Paraguay digemparkan dengan  krisis perbankan, menyaksikan hampir separuh daripada penduduknya tidak dapat mengeluarkan wang  mereka.

Pena mengambil alih kuasa pada tahun 2023, menjadi wajah muda yang segar bagi Parti Colorado  yang telah memerintah selama hampir lapan dekad.

Malah, rakan-rakan politik Pena turut berpaling tadah daripadanya berikutan keruntuhan dramatik sebuah bank yang dikaitkan dengannya, dengan pemimpin parti dan bekas presiden Horacio Cartes menyokong bekas anak didiknya itu dipecat.

Penyingkiran Pena berkemungkinan tidak akan mengubah hubungan rapat Paraguay dengan Amerika Syarikat dengan  Naib Presiden Pedro Alliana daripada parti sama bersedia untuk mengambil alih kepimpinan.

Dilahirkan di Asuncion dalam keluarga berada  pada 16 November 1978, Santiago Pena menempa nama sebagai pengendali teknokrat dan ahli akademik yang cemerlang dalam kehidupan dewasanya.

Beliau berkahwin dengan Leticia Ocampos selepas isterinya hamil ketika pasangan itu masih remaja.

“Ia adalah masa yang sukar dalam hidup saya,” kata bapa dua anak itu kepada seorang penemu ramah mengenai kehidupan awal sebagai ibu bapa.

Beliau berkata,  kedua-dua keluarga membantu pasangan muda itu dan menggalakkannya untuk terus belajar, yang dilakukannya di Universiti Columbia,  New York.

Pengalaman bekerja di luar negara pula termasuk jawatan di Jabatan Afrika IMF  di Washington.

Beliau bekerja sebagai pegawai Bank Pusat Paraguay dalam  tahun 2000-an sebelum menyertai lembaga pengarahnya dan beralih menjawat jawatan menteri kewangan pada tahun 2015.

Pena memenangi pilihan raya presiden dengan selesa pada tahun 2023, dengan 42.7 peratus undi berbanding 27.5 peratus bagi saingannya yang berhaluan kiri.

Pada minggu ini,  Bank Pusat Paraguay (BCP)  mengarahkan campur tangan terhadap bank digital,  Ueno Bank selepas mendapati nisbah kecukupan modalnya jatuh di bawah  50 peratus daripada tahap minimum yang ditetapkan, lapor stesen penyiaran BBC semalam.

Krisis itu menyebabkan dana kerajaan serta simpanan berjuta-juta pelanggan dan pesara terpaksa dibekukan.

Keputusan yang diumumkan  pagi Selasa lepas itu dicapai secara sebulat suara oleh lembaga pengarah bank pusat dan mencetuskan penutupan penuh semua perkhidmatan Ueno Bank.

Para pelanggan melaporkan bahawa mereka tidak dapat melakukan sebarang transaksi menerusi mesin ATM mahupun platform perbankan dalam talian.

“Kami telah meneruskan penutupan entiti ini. Justeru, tidak kira aplikasi, kad, mahupun sebarang perkhidmatan entiti ini tidak lagi aktif bermula dari tarikh ini,” kata ahli Lembaga Pengarah BCP,  Liana Caballero dalam satu sidang akhbar.

Ueno merupakan salah sebuah bank terkemuka di Paraguay, manakala  mengikut perangkaan mereka sendiri, mempunyai 3 juta pelanggan  atau bersamaan 60 peratus  populasi dewasa Paraguay. 

Bank itu juga menguruskan lebih daripada AS$800 juta (RM3.2 bilion) wang awam, yang merangkumi kira-kira AS$380 juta (RM1.5 bilion) pelaburan daripada dana pencen negara  Paraguay iaitu Institut Keselamatan Sosial.

Bank Pusat telah mengaktifkan proses resolusi, di mana kesemua aset dan liabiliti bank tersebut dibekukan sehingga keputusan dimuktamadkan mengenai nasib aset berkenaan serta bagaimana dan sejauh mana obligasi entiti itu akan dilindungi.

Presiden Bank Pusat, Carlos Carvallo memberi jaminan ‘institusi ini akan memaklumkan mengenai mekanisme pemulihan dana bagi penyimpan yang dilindungi oleh jaminan deposit.’

Dana Jaminan Deposit Paraguay hanya melindungi simpanan sehingga 228 juta guaraní bagi setiap individu (RM149,928). –  AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN