fbpx
Seramai 100 pemancing wanita dari seluruh negara menyertai acara LAMT 3.0.

Kaum Hawa ‘takluk’ dunia hanyir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kurang sejam slot pendaftaran pertandingan Lady Angler Mega Trip (LAMT) 3.0 dibuka, kuota 100 peserta telah penuh diisi. Ini membuktikan bahawa penglibatan kaum Hawa dalam dunia ‘hanyir’ semakin meriah.

Pertandingan tersebut berjaya menghimpunkan pemancing wanita dari seluruh negara untuk berentap memburu ikan terbaik di perairan Kuala Gula, Perak baru-baru ini.

Selepas kejayaan edisi 2024 dan 2025, edisi ketiga pada tahun ini telah mendapat sambutan luar jangkaan oleh komuniti pemancing wanita, tanpa mengira peringkat umur dan latar belakang.

Untuk makluman, pertandingan itu merupakan kesinambungan daripada idea dan ilham Pengarah Projek, Nor Hidayah Alias atau lebih mesra disapa Yayers Toure.

Yayers Toure sangat terkenal dalam penciptaan kandungan memancing dalam laman sosial.

Menurutnya, acara pada edisi ketiga itu berjaya mencapai kejayaan berdasarkan peningkatan jumlah penyertaan peserta.

“Lebih membanggakan, angka peserta dari tahun ke tahun bertambah sehingga ke 100 orang wanita pada edisi 3.0.

“Pada edisi pertama, penyertaan seramai 50 orang, di mana kami menyediakan 10 bot bagi penganjuran acara di Pantai Bagan Ajam, Pulau Pinang.

“Pada edisi kedua di Kuala Gula, seramai 80 peserta dan 20 bot disediakan untuk aktiviti memancing.

“Namun kali ini, rekod tercipta apabila slot penyertaan terpaksa ditutup kurang satu jam selepas dibuka.

“Peserta terlibat adalah seramai 100 orang, manakala 25 buah bot disediakan bagi menjayakan program ini,” katanya ketika ditemu bual K-Variasi baru-baru ini.

Untuk edisi ketiga, pihak penganjur masih memilih venue sama seperti penganjuran tahun lalu kerana perairan Kuala Gula merupakan lokasi strategik untuk pemburuan spesies seperti gerepoh, jenahak, siakap merah, kerapu dan senangin.

Acara tersebut turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin dan beberapa jenama barangan memancing terkenal sebagai penaja pertandingan.

Hasil teknik pancingan dasar dan jigging, Nor Fannah Che Wang berjaya mendaratkan ikan gerepoh seberat 2.4 kilogram (kg), sekali gus menjadi pemenang kategori Queen of The Match.

Ikan jenis pelagik berkenaan berjaya dipancing oleh wanita berasal dari Baling, Kedah itu dengan menggunakan umpan anak belanak.

Hasil kemenangan tersebut, Nor Fannah memperoleh hadiah set lengkap peralatan memancing iaitu kekili Seahawk Xeon Combat bersama joran Proto-Z Nagafury.

NOR FANNAH berjaya mendaratkan ikan gerepoh seberat 2.4kg.

 

Pada masa sama, dia turut membawa pulang beberapa produk memancing lain daripada jenama OAG Worldwide, Extend, Kail Empire dan Fixory.

Menariknya, acara itu juga menawarkan beberapa kategori lain seperti Tekong Terbaik dan Content Terbaik yang menawarkan hadiah produk serta peralatan memancing kepada pemenang.

Yayers Toure yang juga merupakan Pakar Produk dan Eksekutif Penglibatan Komuniti TCE Sport Sdn. Bhd. memberitahu, peserta termuda yang menyertai pertandingan edisi 3.0 adalah berusia 16 tahun.

“Setiap program mempunyai keistimewaan yang tersendiri dari edisi pertama hingga ketiga.

“Pada edisi kali ini, kami mendapat peserta termuda sepanjang tiga tahun penganjuran.

“Ini jelas menunjukkan bahawa program LAMT telah mendapat perhatian pelbagai peringkat umur,” katanya.

Lebih menarik, teknik pancingan moden seperti mengilat dan jigging juga sudah tidak asing lagi dalam kalangan komuniti pemancing wanita, meskipun ada antara mereka masih di bangku sekolah.

Situasi ini memberi gambaran bahawa tangan wanita yang lembut turut terselit kesenian dan kepakaran menggayakan umpan atau gewang dengan baik bagi memanipulasikan spesies pelagik serta demersal.

Setelah berjaya menganjurkan LAMT 3.0, Yayers Toure memasang harapan besar agar program itu mampu memberi pendedahan dan menyuntik keyakinan lebih tinggi kepada kaum wanita untuk menceburi arena memancing.

Tambahnya, dia optimis untuk mengangkat sukan memancing dalam kalangan kaum wanita ke peringkat lebih tinggi.

“Saya berharap, pertandingan seperti ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada golongan wanita untuk menceburi dunia memancing.

“Pada masa sama, mereka dapat membina keyakinan diri dan membuktikan bahawa wanita juga mampu bergerak aktif dalam sukan didominasi lelaki ini.

“Harapan saya, LAMT tidak berhenti setakat edisi 3.0.

“Saya mahu platform ini terus berkembang, dan menjadi acara yang lebih berkualiti, selain mendapat pengiktirafan dalam kalangan komuniti pemancing.

“Sejujurnya, di sebalik kejayaan ini, banyak pengorbanan, masa dan tenaga yang telah dicurahkan.

“Namun, apabila melihat semua peserta dapat berkumpul dan acara berlangsung dengan jayanya, ia menjadi satu kepuasan yang sangat besar buat saya,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan angka penyertaan yang diterima, ia jelas menunjukkan bahawa pemancing wanita mula yakin untuk turun ke lapangan menyertai pertandingan memancing peringkat tempatan.

Antara pertandingan lain yang turut mendapat penyertaan daripada pemancing wanita ialah International Monsoon Casting Tournament di Tasik Kenyir, Terengganu dan Royal Pahang Billfish International Challenge di Kuala Rompin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN