KAJANG – Polis menafikan dakwaan tular seorang remaja perempuan maut terkena renjatan elektrik ketika menggunakan kerusi urut di pusat beli belah.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan yang dijalankan mendapati, hantaran tersebut palsu dan tiada kejadian seperti didakwa berlaku.
“Kami turut menerima satu laporan berkaitan dakwaan palsu itu pukul 7.50 malam tadi (semalam) berkaitan satu pautan di laman sosial Facebook yang memaparkan hantaran terbabit.
“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan dinasihati supaya merujuk ke saluran rasmi PDRM atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222.
















