fbpx
HSJ menjadi hospital Tahap 2 pertama di Semenanjung Malaysia menawarkan perkhidmatan koronari angiogram dan angioplasty bagi pesakit jantung dewasa.

HSJ yang pertama tawar rawatan angiogram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang melakar sejarah apabila menjadi hospital Tahap 2 pertama di Semenanjung Malaysia menawarkan perkhidmatan koronari angiogram dan angioplasty bagi pesakit jantung dewasa.

HSJ dalam kenyataan berkata, perkhidmatan baharu yang mula beroperasi semalam itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk di Seberang Perai apabila mereka tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada Hospital Pulau Pinang untuk prosedur diagnostik dan rawatan intervensi jantung.

“Sebagai langkah permulaan, seramai lapan pesakit jantung telah menerima rawatan, dan empat pesakit mendapat rawatan angioplasty.

“Perkhidmatan ini dijangka terus berkembang dengan pelaksanaan prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker) serta rawatan elektrofisiologi (electrophysiology) bagi pesakit yang mengalami gangguan rentak jantung atau aritmia,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kardiologi Negeri Pulau Pinang merangkap Ketua Jabatan Kardiologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamed Jahangir Abdul Wahab berkata, inisiatif itu merupakan langkah strategik bagi memastikan pesakit mendapat akses kepada rawatan jantung berkualiti, tepat pada masanya dan lebih dekat dengan tempat tinggal mereka.

“Pencapaian ini merupakan hasil komitmen berterusan kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang sentiasa peka terhadap keperluan rakyat, di samping responsif dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negara.

“Dengan peningkatan beban penyakit kardiovaskular dan permintaan terhadap rawatan jantung yang semakin kompleks, peluasan perkhidmatan Kardiologi Dewasa di HSJ merupakan satu langkah strategik yang amat signifikan,” katanya.

Beliau juga menyifatkan pencapaian melangkah ke hadapan, perancangan jangka panjang turut dirangka bagi memperkukuh HSJ sebagai pusat rawatan jantung yang lebih komprehensif.

Katanya, ia termasuk pengendalian kes-kes kardiologi dewasa yang kompleks serta peluasan kepada perkhidmatan pembedahan kardiotorasik menjelang pertengahan tahun 2027, tertakluk kepada kesiapsiagaan infrastruktur, peralatan dan sumber manusia.

“Inisiatif ini bukan sahaja bakal meningkatkan kapasiti rawatan jantung di negeri Pulau Pinang, malah berpotensi menjadikan Hospital Seberang Jaya sebagai sebuah lagi pusat rujukan utama perkhidmatan kardiovaskular bagi wilayah utara Semenanjung Malaysia,” katanya.

Pembangunan perkhidmatan kardiologi dewasa di HSJ bermula pada 2023 dengan kehadiran seorang pakar kardiologi sebelum diperkukuh melalui penempatan pakar secara berkala sehingga membawa kepada penubuhan Unit Kardiologi.

Ketika ini, unit berkenaan dilengkapi empat katil Unit Rawatan Koronari (CCU) dan 15 katil Wad Rawatan Koronari (CRW), selain sebuah Makmal Kardiologi Invasif dengan kemudahan sistem angiografi serta peralatan elektrofisiologi moden.

HSJ turut menyediakan perkhidmatan pesakit luar dan pelbagai ujian diagnostik jantung termasuk ekokardiografi, ujian tekanan jantung serta pemantauan rentak jantung menggunakan Holter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN