fbpx
MESKI sudah menghasilkan beberapa buah lagu air tangannya sendiri yang disimpan sejak sekian lama, Jazmy bagaimanapun masih belum bersedia untuk dilancarkan kepada umum.

‘Saya sedang cuba’ – Jazmy Juma serius bergelar penyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS mencipta nama sebagai pelakon, Jazmy Juma kini teruja untuk mengembangkan bakatnya dengan mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

Bukan hanya sekadar hobi, pelakon itu mengakui mempunyai minat mendalam terhadap dunia seni suara dan sudah lama menyimpan hasrat untuk serius membina kerjaya sebagai penyanyi.

Biarpun nama semakin dikenali menerusi pelbagai drama televisyen, Jazmy enggan mengehadkan kemampuan diri dalam satu bidang sahaja, sebaliknya mahu terus meneroka potensi yang dimiliki.

Mengakui tidak pernah berputus asa membina nama sebagai penyanyi, Jazmy berkata, dia sudah lama berjinak-jinak dalam bidang muzik, termasuk menghasilkan runut bunyi drama dan melancarkan lagu sendiri.

Penyanyi

“Saya sedang mencuba (jadi penyanyi). Sebelum ini, jadual lakonan saya agak padat dan saya rasa sekarang baru dapat menyusun masa dengan baik untuk menjadi penyanyi,” kongsinya yang menyanyikan lagu berjudul Ku Terima Bahagiamu untuk drama terbaharunya, Dua Nyawa terbitan Iqiyi.

Menepis tanggapan sekadar mencuba nasib dalam bidang seni suara, pemilik nama penuh Jazmy Juma Khan itu berkata, dia sudah menghadiri kelas vokal sebelum ini sekali gus membuktikan dia serius untuk menjadi penyanyi profesional.

“Ketika berusia 20 atau 21 tahun dahulu, sewaktu mengikuti kelas lakonan, memang ada kelas vokal sekali. 

“Dalam lakonan pun kita perlu belajar tentang vokal kerana kemahiran itu sangat penting dalam lakonan,” katanya kepada HibGlam.

Malah, minat bekas finalis Hero Remaja 2020 itu terhadap dunia seni suara sudah berputik sejak zaman kanak-kanak apabila dia sering berkaraoke bersama keluarga di rumah.

“Saya sangat berharap menjelang 2027, saya dapat mengadakan banyak persembahan pentas dalam bidang muzik. 

SEDAR kecaman segelintir netizen yang pernah melabelkan lakonannya kaku seperti kayu, Jazmy memilih untuk menerima setiap kritikan dengan hati terbuka.

“Itu sasaran saya. Kita tidak tahu apa yang Allah SWT atur tetapi saya berharap diberikan peluang untuk melalui pengalaman itu.

“Untuk genre, saya akan mencuba semua genre muzik mengikut kesesuaian masa tetapi buat masa sekarang saya rasa lagu-lagu sedih paling dekat dengan jiwa saya,” katanya lagi.

Bagi Jazmy, muzik sedih atau galau mempunyai kekuatan tersendiri kerana mampu menjentik emosi sesiapa sahaja yang mendengarnya.

“Apabila sedih, saya akan mendengar lagu sedih kerana saya tahu perlu jadi kuat.

“Kalau saya menghasilkan lagu sedih, orang lain yang sedang berduka dan mendengar karya itu akan menjadi lebih kuat kerana sedar mereka tidak bersendirian,” tuturnya.

Menyedari dirinya masih baharu dalam bidang nyanyian, berhasrat mengikuti bengkel persembahan pentas bagi menggilap identiti sebagai seorang penyanyi.

“Saya merancang untuk mengikuti kelas vokal dan seni persembahan kerana  rasa masih belum pandai menggunakan ruang pentas sebagai penyanyi. 

“Saya sebenarnya teringin nak mencuba program seperti Big Stage kerana boleh menjadi platform terbaik untuk belajar terutama sebagai penyanyi baharu.

“Sebelum ini, kalau hadir ke acara yang ada persembahan nyanyian artis lain, saya akan duduk di belakang pentas dan belajar daripada setiap penyanyi terlibat,” tuturnya.

Dua Nyawa

Sering dilabel sebagai hero romantik dambaan wanita, Jazmy kini mencabar kemampuan diri menerusi watak Zafran dalam drama Dua Nyawa terbitan platform penstriman, Iqiyi yang sarat dengan konflik dan kecelaruan emosi.

Teruja membawa karakter berkenaan, Jazmy menyifatkan watak Zafran sebagai peluang terbaik untuk mempamerkan sisi berbeza sebagai pelakon.

“Seronok, bagi saya ini adalah waktu untuk mencabar diri dan merasai kelainan daripada watak sebelum ini. 

“Watak ini mengajar saya supaya tidak mementingkan diri sendiri. 

“Watak hero romantik yang pernah saya lakukan sebelum ini tidak seberat kesulitan dunia Zafran. Memang antara watak paling mencabar pernah saya dapat terutama dari aspek emosi,” jelasnya.

Pernah meledak menerusi drama Hilang Dalam Rindu, Jazmy berharap penonton mengambil iktibar daripada watak Zafran.

“Saya berharap mereka mendapat pengajaran dari drama ini sebab isu yang diketengahkan sangat berat iaitu cabaran seorang gadis muda berdepan dengan kemelut hidup selepas disahkan hamil anak luar nikah.

“Mesej yang saya harap penonton dapat ialah jangan sesekali lari daripada tanggungjawab. 

“Mengakui kesilapan bukan bermakna kita gagal sebaliknya melarikan diri daripada tanggungjawab itulah kegagalan sebenar,” katanya yang tidak sabar menanti respons penonton.

Berbicara mengenai gandingannya bersama Puteri Balqis atau Aqish, Jazmy memuji profesionalisme aktres muda itu sepanjang berada di lokasi penggambaran.

“Bekerja dengan Aqish, dia seorang pelakon hebat, lontaran emosinya sangat bagus. 

“Di lokasi penggambaran, dia sangat fokus, bekerja keras dan mudah berbincang mengenai dialog bersama,” jelasnya yang turut bergandingan dengan Zarif Ghazzi dalam drama arahan Riza Baharuddin itu.

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN