fbpx
JOKOWI menunjukkan ijazah beliau semasa perbicaraan di Mahkamah Daerah Jakarta Timur hari ini. – AGENSI

Jokowi hadir ke mahkamah, tunjuk bukti ijazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA  – Bekas Presiden Indonesia  Joko Widodo (Jokowi) tiba di Mahkamah Daerah Jakarta Timur hari ini  untuk memberi keterangan sebagai saksi dalam perbicaraan fitnah melibatkan mantan menteri Roy Suryo  yang menuduhnya menggunakan ijazah universiti palsu, lapor laman berita Jakarta Globe.

Ketibaan Jokowi mencetuskan kekecohan di luar mahkamah apabila ramai penyokong berkumpul untuk melihat bekas pemimpin Indonesia itu.

Pihak berkuasa mengerahkan kira-kira 1,200 anggota keselamatan untuk mengekalkan ketenteraman dan mencegah sebarang potensi gangguan semasa perbicaraan berprofil tinggi itu.

Mahkamah mengehadkan kehadiran di dalam kamar perbicaraan  kepada 80 orang dan memasang skrin televisyen di luar bangunan untuk membolehkan wartawan serta orang awam mengikuti prosiding.

Roy yang pernah berkhidmat sebagai menteri belia dan sukan di bawah bekas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, dibicarakan bersama aktivis media sosial Tifauzia Tyassuma, yang lebih dikenali sebagai Dr. Tifa.

Kedua-dua defendan mendakwa bahawa Jokowi telah memalsukan ijazah sarjana mudanya dari Fakulti Perhutanan di Universiti Gadjah Mada (UGM), yang digunakan sebagai sebahagian daripada dokumentasi semasa bertanding dalam pemilihan presiden 2014. Mereka juga mendakwa bahawa beliau tidak pernah menamatkan pengajian di universiti tersebut.

Kedua-dua Jokowi dan UGM telah berulang kali menolak dakwaan tersebut, yang telah mencetuskan kontroversi selama lebih satu dekad dan melibatkan ramai individu yang mempersoalkan kesahihan kelayakan akademiknya.

Beberapa pihak yang sebelum ini membuat tuduhan serupa telah menarik balik dakwaan mereka dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, manakala yang lain kekal dengan dakwaan tersebut dan kini berdepan tindakan undang-undang.

Pasukan peguam Jokowi berkata,  bekas presiden itu bersedia untuk mengemukakan rekod akademik lengkapnya semasa perbicaraan bagi menepis tuduhan berkenaan.

“Semasa perbicaraan ini, Jokowi akan menunjukkan kepada rakyat Indonesia semua ijazah dan sijil beliau, daripada sekolah rendah dan sekolah menengah rendah hingga sekolah menengah atas dan universiti,” kata peguamnya dalam satu kenyataan bertulis. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN