KLUANG – Peluang dibebaskan lebih awal menjelang sambutan Deepavali menjadi hadiah paling bermakna buat dua prospek Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Madani Yakin di Penjara Kluang di sini semalam.
Lebih menyentuh hati, pembebasan itu membolehkan mereka kembali ke pangkuan keluarga selepas beberapa bulan menjalani hukuman di sebalik tirai besi.
Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Sri Siantan itu, seramai 100 prospek terdiri daripada empat wanita dan 96 lelaki dibenarkan pulang bersama keluarga serta majikan masing-masing.
Seorang prospek yang hanya mahu dikenali sebagai Suba, 42, berkata, dia sepatutnya menamatkan hukuman penjara selama lapan bulan akibat kesalahan mencuri kira-kira tiga bulan lagi.
Bagaimanapun, pembebasan menerusi program PBSL itu membolehkannya menyambut Deepavali bersama keluarga, termasuk empat anaknya.
“Banyak pengajaran saya peroleh sepanjang menjalani hukuman dan saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan lalu.
“Walaupun baru empat bulan menjalani hukuman, kehidupan di dalam penjara membuatkan saya berasa jauh daripada dunia sebenar, terutama apabila malam menjelma dan teringatkan anak-anak,”katanya ketika ditemui di sini.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Pengarah Negeri Johor, Penolong Kanan Komisioner Walace Nawon dan Timbalan Pengarah Penjara Kluang, Penolong Komisioner Penjara Jomison Gondikit.-KOSMO! ONLINE















