fbpx
Tangkap layar hantaran yang dimuat naik pengguna di Threads. - Foto JANAAN AI

Pakai baju jabatan ketika cuti, penjawat awam didakwa ‘mengular’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Gara-gara memakai baju-T jabatan ketika bercuti, seorang penjawat awam didakwa menjadi mangsa aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa) selepas disangka ‘mengular’ ketika waktu bekerja.

Perkara itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial apabila penjawat awam dinasihatkan supaya mengelakkan pemakaian baju jabatan ketika berada di luar pejabat, khususnya pada hari bekerja.

Menerusi perkongsian di Threads, pengguna akaun @Qasyahimdad87 mendakwa rakannya pernah berdepan situasi tersebut selepas dilihat berada di sebuah kedai makan kira-kira pukul 10 pagi.

Menurutnya, individu terbabit sebenarnya sedang bercuti bagi menghantar isterinya menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Korang yang penjawat awam tu, kalau cuti bekerja tu, elakkan pakai baju-T jabatan.

“Kawan aku dah kena Sispaa dah, kena tuduh mengular pukul 10 pagi, dekat kedai makan. Walhal member tu cuti hantar isteri pergi pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Perkongsian itu kemudian mendapat perhatian seorang lagi pengguna Threads, @Official_muhdazul yang berseloroh mengenai lambakan baju-T jabatan dimilikinya sehingga hanya berkesempatan memakainya ketika bercuti.

“Aku ni dah lah banyak baju-T jabatan. Masa cuti lah baru nak pakai. Pening staf gomen kalau macam ni,” katanya.

Hantaran tersebut meraih lebih 164,000 tontonan dan 3,500 tanda suka ketika tangkap layar berkenaan diambil, selain mengundang pelbagai reaksi netizen.

Menjengah ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial menyifatkan situasi berkenaan sebagai sesuatu yang menyusahkan penjawat awam, terutama mereka yang memiliki banyak pakaian rasmi jabatan.

Seorang pengguna @Ibuhannah_hana menjelaskan bahawa sesetengah pakaian berkenaan bukanlah pakaian seragam rasmi, sebaliknya baju yang dihasilkan sempena program atau aktiviti jabatan.

“Bukan baju formal atau uniform pun. Kadang-kadang baju untuk aktiviti, kadang-kadang baju kelab. Kadang-kadang baju-T cikgu sengaja dicetak sebab ada aktiviti sehari. Rugilah kalau tidak pakai untuk berjalan setiap hari. Nanti kecil begitu sahaja baju itu. Sudahlah kita bayar mahal,” katanya.

Sementara itu, @Tedabubakar mempersoalkan keadaan tersebut memandangkan terdapat penjawat awam yang bekerja secara hibrid.

“Parahlah macam ini. Sekarang ini pun sudah boleh bekerja secara hibrid. Hendak keluar makan pun tidak bolehkah?” soalnya.

Seorang lagi pengguna, @Kwiyo_chan pula berkata, baju jabatan yang diterima sempena pelbagai program wajar dimanfaatkan dan bukannya sekadar disimpan.

“Baju itu biasanya diberikan ketika ada program. Selepas itu, bila lagi hendak pakai, betul tidak? Baju pula banyak kalau jabatan yang mempunyai banyak program. Lebih baik buat baju pakai buang,” katanya.

Pengguna @Ariffasri pula berpandangan aduan yang diterima sepatutnya disiasat terlebih dahulu dengan menyemak rekod cuti pegawai berkenaan sebelum sebarang tindakan diambil.

“Alah kalau Sispaa pun mesti mereka siasat ada rekod cuti ke apa sblom ambil tindakan,” katanya.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN