ALOR SETAR – Seorang penjawat awam wanita ditahan bagi membantu siasatan kes salah guna kedudukan bagi membekalkan barangan dan perkhidmatan sempena kejohanan sukan bertaraf antarabangsa di negeri ini, tiga tahun lalu.
Suspek berusia dalam lingkungan 40-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Langkawi pada pukul 4 petang semalam.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2023 dengan mencadangkan dua syarikat milik seorang individu.
Suspek juga disyaki mempunyai kepentingan dalam kedua-dua syarikat tersebut.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














