KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pelakon wanita, Puteri Balqis menjadi mangsa gangguan seksual seorang pelakon lelaki ketika sesi penggambaran sebuah drama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, enam individu berkenaan termasuk pengadu, tunangnya yang juga pembantu peribadi serta suspek.
Selain itu, polis turut merakam keterangan pengarah drama dan dua jurukamera yang terlibat dalam penggambaran berkenaan.
Menurutnya, polis turut akan merakam keterangan kira-kira 25 lagi saksi yang terdiri daripada kru penggambaran bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Rakaman percakapan lebih kurang 25 orang saksi (kru penggambaran) akan diambil secara berperingkat dan mengikut kesesuaian masa memandangkan kru penggambaran telah bertugas dengan produksi yang lain,” katanya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Puteri Balqis menjadi mangsa gangguan seksual seorang pelakon lelaki ketika sesi penggambaran sebuah drama.
Puteri Balqis atau lebih mesra dengan panggilan Aqish sebelum ini meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap seorang pelakon lelaki yang didakwa sengaja bergesel dengannya ketika menjayakan babak lakonan bersama.
Dia turut mengambil inisiatif bertemu pengarah bagi meminta supaya babak bersentuhan dikurangkan selepas mendakwa pelakon berkenaan berulang kali cuba mengambil kesempatan termasuk bergesel dengannya.
Syarikat produksi, Global Film Station Sdn. Bhd. (Global Station) juga dalam kenyataan berkata akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung isu tersebut. – KOSMO! ONLINE














