PETALING JAYA – Soalan berkaitan penjodoh bilangan yang dianggap mudah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen apabila beberapa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa sukar menjawab soalan berkenaan, semalam.
Menerusi perkongsian di Threads, beberapa pengguna meluahkan rasa hairan apabila isu penjodoh bilangan menjadi perdebatan dalam kalangan calon SPM, malah ada yang mendakwa segelintir pelajar mempersoalkan kepentingan mempelajarinya kerana jarang digunakan dalam kehidupan seharian.
Menurut seorang pengguna @azuehamdan, keadaan itu mungkin berkait dengan amalan membaca yang semakin kurang, memandangkan penggunaan penjodoh bilangan lebih kerap ditemukan dalam penulisan berbanding perbualan harian.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut berkongsi pandangan mengenai penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.
Seorang pengguna @functioning.autistic secara berseloroh menyifatkan keadaan itu mungkin berpunca daripada kurangnya pendedahan terhadap penggunaan penjodoh bilangan yang betul.
“Jangan salahkan adik-adik SPM tahun ini tak kenal penjodoh bilangan itu apa. Mereka membesar dengan pak cik mak cik dan cikgu-cikgu yang jodohnya hilang. Kalau ditanya penjodoh hilangan mungkin mereka boleh jawab dengan baik,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna @faidah_amirul yang bekerja dalam bidang barangan kemas berkata, penggunaan penjodoh bilangan yang tepat sudah menjadi kebiasaan dalam urusan pekerjaannya.
“Saya kerja bahagian barang kemas. Kalau jumpa customer (pelanggan) mesti cakap sebentuk cincin, seutas rantai tangan, sepasang subang. Kadang customer (pelanggan) pandang pelik je, lantaklah,” katanya.
Seorang lagi pengguna @mak_mangis pula berkongsi pengalaman anaknya yang mempelajari penjodoh bilangan daripada seorang guru berbangsa Cina di sebuah sekolah dalam hospital.
Menurutnya, guru berkenaan sering mengingatkan anaknya supaya mengingati contoh penjodoh bilangan seperti ‘sesikat pisang’ dan ‘tanak nasi’ sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM.
Malah, terdapat juga netizen yang membangkitkan kebimbangan mengenai perubahan penggunaan bahasa dalam kalangan generasi akan datang.
“Agaknya lagi 30 tahun mereka guna bahasa gorgon, evolusi bahasa baharu,” kata seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE














