KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa menyiasat seorang Ahli Parlimen yang didakwa membuat kenyataan menggugat sensitiviti keagamaan ketika mengunjungi Terengganu, baru-baru ini.
Tanpa menamakan Ahli Parlimen berkenaan, Perdana Menteri menegaskan tiada pihak terkecuali daripada tindakan penguatkuasaan sekiranya membangkitkan isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Beliau sekali gus mengaku tidak bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen terbabit yang dilapor mempersoalkan penutupan premis perniagaan bagi memberi laluan kepada solat Jumaat.
“Kenyataan Ahli Parlimen terbabit, saya tidak bersetuju. Itu jelas.
“Walaupun kini sudah minta maaf, itu saya serah kepada siasatan… apakah kenyataan dibuat selepas mohon maaf, itu keputusan PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai tindakan ke atas seorang Ahli Parlimen yang didakwa mengeluarkan kenyataan menggugat sensitiviti keagamaan.
Dalam pada itu, Anwar menafikan dakwaan bahawa kerajaan mengamalkan pendekatan dwistandard ketika mengambil tindakan berkaitan isu 3R sekiranya membabitkan penyokong pentadbiran.
Beliau juga meminta semua pihak merujuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak pendakwaan bagi mendapatkan perincian lanjut mengenai tindakan penguatkuasaan berkaitan isu 3R.
“Nak kata (tindakan penguatkuasaan) ‘slow’ (lambat), tak betul… kerana tindakan segera cuma dia (Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama) segera minta maaf.
“Soal sajak Pasir Gudang (PH – Hassan Abdul Karim). Kadang-kadang Pasir Gudang tentu… kalau tanya saya sebagai sahabat, saya tidak cenderung, tetapi sajak itu ditafsir sebagai menghina institusi diraja.
“Jadi siasatan harus diteruskan. Isu menyentuh institusi diraja selalunya disegerakan. Ini saya harus akui,” katanya.
Mengenai siri kenyataan Tony Pua pula, Perdana Menteri turut mengaku beliau tidak bersetuju dengan pendirian bekas Ahli Parlimen Damansara itu, selain menggesa pihak berkuasa supaya turut menyiasat Exco DAP Kebangsaan berkenaan.
“Kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, saya tidak pertahankan. Ya, soal siasatan, itu diteruskan, ada yang perlahan, ada yang lambat. Kita boleh rujuk KDN dan pihak pendakwaan.
“Kalau mahu kata antara dua darjat, saya tidak setuju. Siapa yang umpamanya menghalang tindakan? Saya menyemak semua kes, termasuk pemimpin pembangkang, kepemimpinan parti pembangkang, banyak,” katanya.
Perdana Menteri berkata, siasatan kes sedemikian dibuat untuk memberi peluang individu terbabit memberikan penjelasan, selain mengakui tidak semuanya akan berakhir dengan proses pendakwaan.
“Jadi dalam kes ini, jangan kita halang siasatan, tetapi tidak semua berakhir dengan pendakwaan. Cuma kadang-kadang sekadar polis siasat pun jadi seolah-olah penderaan besar.
“Padahal ada laporan dan polis siasat. Takkan pula ada orang yang ‘dewa’ dan tidak boleh disiasat. Ini dalam sistem kita, tiada sesiapa terkecuali untuk ditanya dan disiasat kalau ada laporan polis,” katanya.
Menjawab soalan asal, Perdana Menteri berkata, ketetapan mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap isu 3R dibuat bagi mengawal keharmonian, menghormati prinsip Raja Berperlembagaan serta menjaga keharmonian antara kaum dan agama.
Beliau berkata, ia juga selari keputusan Majlis Raja-raja yang sering membangkitkan isu berkenaan dalam hampir setiap mesyuarat, selain menafikan ia bermotifkan politik atau dipolitikkan.
“Pemantauan dilakukan PDRM serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selain turut dirujuk kepada beberapa badan penasihat, termasuk Majlis Penasihat Perpaduan Negara.
“Perkara ini memerlukan kerjasama semua. Jika ada kes tertentu yang ditafsirkan salah guna kuasa atau (bermotifkan) politik, ini boleh dirujuk, tetapi jangan tolak 3R,” katanya.














