BEIJING – Lima bilionair yang kesemua mereka berasal dari Benua Asia, mencatatkan peningkatan kekayaan harian terbesar di dunia semalam, dengan gabungan nilai bersih sebanyak AS$5.5 bilion (RM22 bilion), lapor saluran berita VN Express.
Majalah Forbes melaporkan, Wang Xingxing yang merupakan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif firma robotik China, Yushu Technology (Unitree), mendahului senarai global apabila kekayaannya bertambah AS$2.1 bilion (RM8 bilion) kepada AS$12.9 bilion (RM53 bilion).
Wang mula mencuri perhatian pada 2016 menerusi ciptaan robot berkaki empat pertamanya, XDog, ketika menuntut di Universiti Shanghai.Â
Selepas berkhidmat seketika di syarikat dron DJI, beliau mengasaskan Unitree pada tahun sama.Â
Sementara itu, individu kedua terkaya di Indonesia, Prajogo Pangestu, mencatatkan kenaikan kekayaan kedua terbesar selepas menambah AS$953.5 juta (RM3.9 bilion) kepada kekayaannya, peningkatan sebanyak 10.6 peratus yang menjadikan kekayaannya mencecah $10 bilion (RM41 bilion)
Prajogo memulakan empayarnya dalam industri balak lewat tahun 1970-an menerusi Barito Pacific sebelum beralih ke sektor petrokimia dan tenaga melalui anak syarikat, Chandra Asri.
Di tempat ketiga, Pengerusi syarikat pengeluar komponen gentian optik China, Suzhou TFC Optical Communication, Zou Zhinong bersama keluarganya merekodkan pertambahan kekayaan AS$865 juta (RM3.5 bilion) kepada AS$7.3 bilion (RM30 bilion).
Seterusnya, Pengerusi syarikat pereka cip terkemuka MediaTek, Tsai Ming-kai berada di kedudukan keempat selepas kekayaannya meningkat AS$824.9 juta (RM3.3 bilion) kepada AS$10.1 bilion (RM41 bilion) dalam masa sehari
Melengkapkan senarai lima teratas ialah pengasas dan Pengerusi pengeluar komponen automotif China, Ningbo Tuopu Group iaitu Wu Jianshu yang meraih pertambahan kekayaan sebanyak AS$740 juta (RM3 bilion) kepada AS$8.5 bilion (RM34 bilion) – AGENSI














