SHAH ALAM – Syarikat kesihatan tempatan, Eskayvie Sdn. Bhd. (Eskayvie) menyasarkan membantu 10,000 usahawan baharu menjana pendapatan tambahan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan menjelang 2027 menerusi pelancaran portal Nexus.
Inisiatif itu bertujuan membuka peluang kepada masyarakat, khususnya mereka yang belum mempunyai pengalaman berniaga membina sumber pendapatan tambahan bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Pengarah Urusan merangkap Pengasas Eskayvie, Datin Dr. Kartika Wati Mohamed berkata, sasaran berkenaan didorong keperluan membantu lebih ramai individu menjana pendapatan melalui perniagaan dengan sokongan latihan dan bimbingan secara berstruktur.
“Bagi sesebuah keluarga, tambahan RM1,000 sebulan boleh membantu menampung belanja dapur, membeli keperluan sekolah anak-anak atau menyediakan simpanan kecemasan.
“Sebab itu kami mahu memudahkan langkah pertama bagi mereka yang ingin berniaga dan melalui Nexus, kami mahu usahawan tahu apa yang perlu dipelajari, bagaimana hendak mendekati pelanggan pertama dan kepada siapa mereka boleh mendapatkan bimbingan,” katanya pada majlis pelancaran portal itu semalam.
Kartika Wati berkata, portal itu dibangunkan berasaskan pengalaman 17 tahun Eskayvie dalam industri kesihatan bagi memperluas akses kepada latihan serta bimbingan keusahawanan menerusi rangkaian perniagaannya.
Katanya, Nexus berkonsepkan Explore, Learn, Grow menghimpunkan panduan berkaitan produk, sistem perniagaan, pemasaran dan jualan bagi membantu usahawan memahami kaedah menjana pendapatan.
Pada majlis sama, Eskayvie turut meraikan pencapaian siri animasi tempatan OWI yang meraih lebih setengah juta tontonan di YouTube sejak mula ditayangkan pada 17 Oktober lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidikan dan Inovasi merangkap Pengarah Eksekutif Eskayvie, Datuk Dr. Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri turut menasihatkan usahawan supaya sentiasa berdisplin bagi memastikan kelangsungan sesebuah perniagaan.
“Setiap usahawan perlu mempunyai matlamat yang jelas dan menterjemahkannya kepada tindakan. Kemajuan datang apabila kita terus belajar dan konsisten mengamalkan apa yang dipelajari,” katanya.-KOSMO! ONLINE














