SALBIAH yang merupakan graduan bidang pentadbiran perniagaan dari UUM menunjukkan produk cili bohnya.

Restu arwah ibu pembakar semangat Salbiah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bermula secara kecil-kecilan, seorang ibu kepada empat cahaya mata kini mampu menghasilkan lebih 80 kilogram cili boh seminggu menerusi perniagaan yang diusahakannya sejak sembilan tahun lalu.

Lebih bermakna, perniagaan Cili Boh Iffah yang diusahakan Salbiah Ngah, 43, itu merupakan hasil daripada idea dan restu arwah ibunya yang menjadi pembakar semangat untuk dia menceburi bidang keusahawanan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, dia mula mengusahakan produk berkenaan secara kecil-kecilan sekitar 2017 selepas beberapa tahun memberikan sepenuh perhatian menjaga ibu bapanya yang uzur.

Menurutnya, pada peringkat awal, dia perlu bekerja keras memperkenalkan produk cili boh itu kepada orang ramai termasuk membawa sendiri produk ke kedai selain memberikan sampel percuma kepada bakal pelanggan.

“Dahulu memang susah nak perkenalkan produk sebab orang belum kenal Cili Boh Iffah. Jadi saya bawa sendiri ke kedai-kedai dan beri pelanggan rasa terlebih dulu.

“Bagi saya, kalau hendak orang beli produk kita, mereka kena kenal dan yakin dengan rasanya. Sebab itu saya tidak kisah keluarkan modal untuk beri sampel percuma.

“Alhamdulillah, daripada situ, sedikit demi sedikit pelanggan mula mengenali produk saya sehingga permintaan semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di kilang miliknya di Belara, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Salbiah berkata, cili boh yang dijual pada harga RM3 hingga RM6 itu dihasilkan dengan menitikberatkan penggunaan bahan asli tanpa pewarna tambahan.

Jelasnya, antara keistimewaan produk itu ialah warna merah semula jadi daripada cili yang digunakan selain tahap kepedasan yang membolehkan pengguna hanya menggunakan kuantiti sedikit dalam masakan.

“Warna merah itu memang daripada cili sendiri. Rasa pedasnya juga lebih kuat, jadi pelanggan tidak perlu menggunakan terlalu banyak untuk mendapatkan kepedasan yang diinginkan,” katanya.

Menurut Salbiah, penghasilan cili boh itu pada awalnya dilakukan di sebuah ruang kecil sebelum dia mengambil keputusan menambah ruang pemprosesan di bahagian belakang bagi menampung peningkatan permintaan.

Katanya, kerja pengubahsuaian dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan kerana dia tidak mahu terlalu bergantung kepada pinjaman untuk mengembangkan perniagaan.

“Pada awalnya, tempat untuk buat cili boh memang kecil sahaja, namun apabila tempahan semakin banyak, saya tambah sedikit demi sedikit ruang di belakang supaya kerja lebih mudah.

“Sekarang pengeluaran boleh mencecah lebih 80 kilogram seminggu tetapi jumlah itu juga bergantung kepada permintaan pelanggan dan bekalan yang diperlukan oleh kedai,” katanya.

Pekerja Cili Boh Iffah melakukan penyediaan cili merah sebelum diproses menjadi cili boh di kilang pengeluarannya di Belara, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Salbiah berkata, selain menguruskan sendiri operasi perniagaan, dia turut mendapatkan bantuan beberapa pekerja sambilan bagi melancarkan proses penyediaan dan pembungkusan produk.

Menurutnya, kebanyakan mereka diberikan bayaran berdasarkan jumlah kerja yang disiapkan tanpa terikat dengan jadual bekerja terlalu ketat.

“Saya faham ada yang mempunyai anak kecil dan tanggungjawab di rumah, jadi saya tidak terlalu menetapkan waktu bekerja asalkan kerja yang diberikan dapat disiapkan dengan baik.

“Sekurang-kurangnya mereka juga boleh memperoleh pendapatan tambahan dan pada masa sama membantu saya memastikan pengeluaran berjalan lancar,” katanya.

Salbiah akui penggunaan media sosial khususnya Facebook banyak membantu memperkenalkan Cili Boh Iffah kepada pelanggan di luar kawasan sekitarnya.

Menurutnya, walaupun persaingan dalam pasaran produk makanan semakin sengit, dia percaya kualiti dan kejujuran dalam menghasilkan produk menjadi faktor penting untuk mengekalkan kepercayaan pelanggan.

“Sekarang memang ramai orang berniaga cili boh dan masing-masing ada kelebihan sendiri. Saya tidak boleh halang persaingan tetapi saya boleh pastikan produk yang dihasilkan sentiasa berkualiti.

“Bagi saya, apabila pelanggan sudah percaya dengan produk kita, mereka akan terus membeli. Sebab itu saya lebih utamakan kualiti berbanding mengejar keuntungan semata-mata,” katanya.

Mengulas lanjut, Salbiah berkata, dia pernah menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian yang banyak membantu meningkatkan keupayaan operasi bisnes.

Bagaimanapun, dia mengakui masih berhati-hati untuk mengembangkan perniagaan secara besar-besaran kerana perlu mengambil kira kos mesin, tenaga kerja, pengurusan kewangan serta komitmen terhadap keluarga.

“Saya memang ada banyak idea dan perancangan untuk besarkan perniagaan tetapi apabila operasi semakin besar, tanggungjawab pun bertambah termasuk perlu ada pekerja tetap dan sistem pengurusan lebih teratur.

“Buat masa ini, saya lebih selesa berniaga mengikut kemampuan sendiri kerana tidak mahu terlalu terbeban dengan hutang dan pada masa sama masih boleh memberikan perhatian kepada anak-anak,” katanya.

Berkongsi kisah di sebalik penglibatannya dalam bidang keusahawanan, Salbiah berkata, dia sebelum ini terpaksa mengetepikan hasrat membina kerjaya selepas menamatkan pengajian kerana mahu menjaga kedua-dua ibu bapanya yang sakit.

Anak ke-11 daripada 12 beradik itu berkata, bapanya meninggal dunia pada 2010, manakala ibunya pula menghembuskan nafas terakhir pada 2015, sebelum dia mula memberikan perhatian kepada masa depan sendiri.

“Memang saya teringin hendak bekerja seperti orang lain selepas habis belajar tetapi ketika itu mak dan ayah sakit. Saya tidak sampai hati hendak tinggalkan mereka.

“Arwah mak juga antara yang memberikan idea dan restu untuk saya berniaga. Walaupun mak tidak sempat melihat perniagaan ini berkembang seperti sekarang, saya tetap bersyukur kerana semuanya bermula dengan restu beliau,” katanya.

Salbiah berharap perniagaan Cili Boh Iffah dapat terus berkembang secara berperingkat selain menjadi sumber pendapatan yang membolehkannya membantu keluarga dan individu lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN