STATUS perkahwinan dan pertambahan usia bukan penghalang bagi wanita untuk mengejar impian, mengembangkan potensi diri serta menyumbang kepada masyarakat.
Mereka juga perlu diberi peluang untuk mengenali potensi diri, memperluas jaringan dan membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Hal ini turut diterapkan menerusi penganjuran Mrs International Global 2026 di ibu negara baru-baru ini.
Menghimpunkan lebih 30 peserta dari lebih 15 negara, pertandingan berkenaan bukan sekadar mengangkat kecantikan luaran, sebaliknya menyediakan pentas antarabangsa untuk wanita berkahwin menampilkan bakat, berkongsi pengalaman hidup dan membina keyakinan diri.
Menurut pengasasnya, Sharon Too, Mrs International Global memperkenalkan tanda dagangannya pada 2016 dengan misi memperkasa wanita menerusi slogan ‘Be Brave, Stop Bullying’ (Berani dan Hentikan Buli).
“Usaha itu membawa mesej bahawa wanita tidak seharusnya dibataskan oleh tanggapan masyarakat terhadap peranan mereka selepas berkahwin, termasuk anggapan bahawa tanggungjawab terhadap keluarga perlu mengatasi cita-cita dan pembangunan diri.
“Sebaliknya, wanita yang sudah berkeluarga tetap mempunyai ruang untuk meneroka kebolehan, membina kerjaya dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan tanpa perlu mengetepikan identiti serta aspirasi peribadi,” katanya ketika ditemui K-Wanita di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Sharon yang sebenarnya mula berkecimpung dalam penganjuran pertandingan untuk wanita berkahwin sejak tahun 2013, penganjuran tahun ini menampilkan dua kategori iaitu Mrs untuk peserta berusia 28 hingga 50 tahun dan Classic bagi 50 tahun ke atas.
Pembahagian itu memperluas penyertaan merentas generasi sekali gus mencabar persepsi bahawa peluang untuk menyerlah semakin berkurangan apabila seseorang wanita meningkat usia.
Kehadiran peserta berusia 72 tahun dari India, Manju Prasad, dalam kategori Classic menjadi antara gambaran bahawa keyakinan diri tidak mempunyai had usia.
Kongsinya lagi, penyertaannya turut membawa mesej bahawa wanita masih boleh mencabar diri, mencuba pengalaman baharu dan mengejar pencapaian pada peringkat kehidupan yang berbeza.
Sementara itu, dalam pertandingan kategori Mrs tersebut, peserta dari Filipina, Nika Linz Harris dinobatkan sebagai Mrs International Global 2026, manakala wakil dari Indonesia, Dr. Vina Dewi meraih gelaran Mrs International Universal 2026.
Bagi kategori Classic, wakil Kazakhstan, Zhanna Konakbay memenangi gelaran Classic Mrs International Global 2026, sementara peserta dari Mexico, Katy Velazquez dinobatkan sebagai Classic Mrs International Universal 2026.
Kejayaan Nika turut memperlihatkan bagaimana pengiktirafan di pentas antarabangsa boleh dimanfaatkan untuk tujuan lebih besar.
Menurut ibu kepada dua anak yang bekerja dalam bidang perubatan itu, dia mengasaskan Nika Linz Charitable Trust bagi membantu golongan memerlukan, khususnya kanak-kanak, warga emas dan mangsa pemerdagangan manusia.
“Saya percaya setiap wanita tidak kira apa jua status mereka mempunyai Impian masing-masing dan platfom ini merealisasikan impian kami kaum ibu dan isteri untuk berada di pentas ratu cantik dan memberi inspirasi kepada orang ramai.
“Gelaran ini juga membuka peluang untuk saya meneruskan usaha kebajikan serta menghubungkan lebih ramai pihak yang mahu membantu golongan sasaran,” ujarnya.
Sementara itu, Vina yang juga pensyarah dan jurulatih pengucapan awam melihat sokongan keluarga sebagai sumber kekuatan.
“Saya berharap pencapaian ini dapat meningkatkan keyakinan pelajar saya serta menggalakkan lebih ramai wanita mencuba peluang yang sebelum ini mungkin dianggap di luar kemampuan mereka.
“Setiap wanita mempunyai kekuatan masing-masing dan mereka perlu meningkatkan kepercayaan diri serta berani kehadapan untuk mencapai Impian mereka,” kongsinya.
Penganjuran itu turut menandakan kesinambungan legasi Sharon menerusi anak perempuannya, Evelyn Gan, seorang ahli psikologi klinikal yang kini memainkan peranan dalam pengurusan pertandingan tersebut.
Peralihan kepimpinan itu membuka ruang untuk nilai keberanian, keyakinan dan pemerkasaan wanita diteruskan kepada generasi seterusnya.














