KEINDAHAN sesebuah pementasan teater bukan hanya terletak pada jalan cerita, lakonan dan susunan muzik, sebaliknya turut bergantung kepada kekuatan visual yang membantu menghidupkan setiap watak di atas pentas.
Di sebalik busana indah, perincian aksesori dan solekan yang melengkapkan penampilan pelakon, terdapat individu yang bekerja di belakang tabir bagi memastikan setiap elemen mempunyai identiti serta cerita tersendiri.
Bagi pementasan muzikal Puteri Gunung Ledang yang sukses dan telah menuai pujian ramai, antara individu penting yang bertanggungjawab membentuk keindahan visual tersebut ialah Fatimah Puteh atau lebih dikenali dengan nama Tym Fatimah.
Menggalas tanggungjawab sebagai Pereka Busana dan Tatarias, Tym diberi kepercayaan menterjemahkan latar sejarah, budaya dan keperibadian watak menerusi rekaan kostum yang bukan sekadar menarik perhatian tetapi turut memiliki nilai artistik.
Mempunyai pengalaman selama hampir dua dekad sebagai penata gaya (stylist) sejak 2010 termasuk untuk acara-acara besar hiburan dan konsert artis ternama, wanita ini juga pernah dianugerahkan Stylist of the Year pada KL Fashion Award 2024.
Menurut Tym, peluang menyertai produksi PGL menjadi antara pengalaman bermakna dalam perjalanan kerjayanya, apatah lagi penglibatan itu dicadangkan oleh figura seni yang cukup dikaguminya, Raja Malek atau Chelek.
“Tanggungjawab tersebut bukan sekadar menghasilkan pakaian yang cantik untuk dipakai pelakon, sebaliknya memerlukan penelitian terhadap latar zaman, kedudukan sosial, personaliti dan peranan setiap watak dalam penceritaan.
“Mengangkat elemen tradisional, sejarah dan sentuhan kontemporari sebagai konsep utama, saya banyak mendapatkan inspirasi daripada kebudayaan Melayu ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka serta pengaruh Jawa, khususnya kerajaan Majapahit,” katanya kepada K-Wanita.

Tambah Tym, setiap lapisan masyarakat pada zaman tersebut mempunyai identiti tersendiri yang perlu diterjemahkan melalui pemilihan fabrik, warna, siluet serta aksesori.
Daripada golongan istana, bangsawan, pahlawan sehinggalah rakyat biasa, setiap watak memerlukan pendekatan berbeza supaya penampilan mereka selari dengan kedudukan serta karakter yang dibawakan.
TYM bagaimanapun tidak mahu rekaan yang dihasilkan dilihat sebagai rekonstruksi sejarah secara literal kerana PGL merupakan pementasan muzikal yang turut memerlukan interpretasi kreatif bagi memberikan impak visual kepada penonton.
Kongsi Tym lagi, dalam membentuk penampilan watak utama, dia percaya keanggunan seorang puteri tidak semestinya perlu diterjemahkan menerusi busana yang sarat dengan perhiasan.
Sebaliknya, gabungan warna, fabrik, siluet dan aksesori yang tepat sudah memadai untuk menyerlahkan keperibadian serta martabat seseorang watak.

Menghasilkan kostum untuk teater mempunyai cabaran tersendiri berbanding penggayaan fesyen bagi fotografi atau produksi televisyen.
Tym menjelaskan, setiap rekaan perlu mengambil kira aspek praktikal termasuk keselesaan pelakon, pergerakan koreografi, pencahayaan pentas dan tempoh pertukaran kostum yang kadangkala sangat singkat.
Malah, antara kostum yang paling mencabar untuk direalisasikan ialah busana Dewa Perang yang melalui beberapa perubahan dan penambahbaikan sepanjang proses persiapan serta latihan.
“Hal ini kerana watak berkenaan melibatkan pergerakan lasak, aksi pertarungan dan koreografi yang memerlukan fleksibiliti tinggi. Lebih mencabar, tempoh pertukaran kostum bagi watak itu tidak boleh melebihi dua minit.
“Justeru, setiap perincian perlu dirancang dengan teliti agar tidak mengganggu pergerakan pelakon mahupun kelancaran pementasan,” ujarnya.
Katanya lagi, berbeza dengan penggayaan untuk fotografi atau televisyen, kostum teater perlu mengambil kira banyak aspek seperti koreografi, pergerakan pelakon, pencahayaan dan juga pertukaran kostum yang kadangkala perlu dilakukan dalam masa kurang lima minit.
Bagi Tym, kejayaan sesebuah kostum bukan hanya apabila penonton melihatnya sebagai sesuatu yang indah, tetapi apabila pelakon dapat bergerak, menari dan menghidupkan watak dengan yakin tanpa perlu memikirkan apa yang sedang mereka pakai.
Dalam memastikan keseluruhan rekaan memenuhi kehendak produksi, Tym turut mengadakan perbincangan serta pertukaran idea bersama pengarah yang banyak memberikan panduan dari sudut artistik.
“Kerjasama turut melibatkan bahagian lain seperti solekan, dandanan rambut dan pencahayaan bagi memastikan setiap elemen mempunyai kesinambungan dengan konsep pementasan.
“Bagi saya, proses kreatif memerlukan keterbukaan menerima pandangan kerana ada kalanya idea asal perlu diubah atau disesuaikan selepas melihat hasilnya di atas pentas,” tambahnya.

di sebalik penataan gaya bagi Konsert
M. Nasir.
Tym juga percaya keindahan yang disaksikan penonton sebenarnya merupakan hasil kerjasama ramai individu di belakang tabir dan tidak bergantung satu bahagian produksi semata-mata.
Di sebalik penglibatannya dalam produksi teater, Tym sebenarnya mempunyai pengalaman luas dalam industri fesyen dan hiburan tempatan.
Mempunyai kelulusan dalam bidang Seni Reka Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tym memulakan perjalanan kerjaya dengan bekerja bersama beberapa jenama fesyen tempatan dan antarabangsa selepas menamatkan pengajian.
Pengalaman tersebut memberikan pendedahan terhadap pelbagai pendekatan rekaan, perkembangan trend dan keperluan industri sebelum dia beralih menjadi penasihat fesyen di sebuah stesen televisyen.
Kongsi Tym, minat mendalam terhadap dunia fesyen serta kecenderungan melihat seseorang tampil kemas, menarik dan bersesuaian dengan penampilan menjadi antara faktor yang mendorongnya serius membina kerjaya sebagai stylist sejak 2010.
“Sejak itu, saya terus mengembangkan kemahiran dengan mengendalikan penampilan pelbagai figura seni, daripada artis yang baru membina nama sehinggalah penyanyi dan penghibur ikonik tanah air.
“Antara pengalaman yang cukup mencabar bagi saya ialah apabila diberi tanggungjawab mengendalikan penampilan penyanyi legenda, Datuk M. Nasir untuk beberapa konsert,” katanya.
Menurut Tym lagi, bekerja dengan figura seni berkenaan memberikan pengalaman dan ilmu yang cukup berharga kerana setiap pemilihan pakaian perlu mempunyai sebab serta makna tersendiri.
Malah, M. Nasir cukup teliti dalam menilai sesuatu rekaan, termasuk corak, jenis fabrik dan warna yang digunakan.
Tym turut berkongsi bahawa penyanyi itu mempunyai cita rasa warna yang khusus, sehingga ada kalanya memerlukan dirinya membuat rujukan tambahan bagi mendapatkan tona yang benar-benar dikehendaki.
“Dia seorang sifu dan insan seni. Apa sahaja benda yang saya mahu persembahkan perlu ada erti dan sebab, bukan sekadar kosong-kosong.
“Beliau akan bertanya kenapa corak ini, kenapa kain ini. Dari segi warna pun, permintaannya bukan yang asas. Kalau mahu warna merah, beliau boleh minta Crimson Red,” katanya lagi sambil mengakui pengalaman tersebut banyak mengajarnya untuk lebih teliti dalam berkarya.
Selain mengendalikan penampilan artis, Tym turut terlibat dalam beberapa projek besar termasuk Anugerah Juara Lagu (AJL) apabila diberi tanggungjawab menguruskan penggayaan hos utama.
Dia juga menghasilkan reka bentuk kulit album penyanyi Marsha Milan yang baru-baru ini meraih pengiktirafan dalam kategori Kulit Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM).
Penglibatan dalam pelbagai cabang seni membuktikan kemahirannya tidak terbatas kepada pemilihan pakaian semata-mata, sebaliknya turut merangkumi keupayaan membina identiti visual menerusi pendekatan kreatif yang berbeza.
Sepanjang perjalanan kerjayanya, Tym menerima beberapa pengiktirafan termasuk Stylist of the Year, Stylist Pilihan Selebriti dan Stylist Terbaik dalam beberapa acara anugerah.
Baginya, penghargaan tersebut bukan sekadar mengangkat pencapaian peribadi, malah membantu membuka mata masyarakat mengenai kewujudan serta sumbangan profesion penggayaan fesyen dalam industri kreatif.
Tym melihat perkembangan kerjaya penggaya fesyen, penata gaya atau stylist di Malaysia sebagai sesuatu yang semakin positif apabila khidmat mereka kini mendapat permintaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Jika sebelum ini peranan stylist lebih sinonim dengan penggayaan artis dan selebriti, kini khidmat tersebut turut diperlukan untuk majlis rasmi, sesi fotografi, penggambaran video, perkahwinan serta acara penting.
“Bagaimanapun, saya menekankan tugas seorang stylist bukan sekadar memilih pakaian mengikut trend atau mengambil busana sedia ada untuk disarungkan kepada pelanggan.
“Sebaliknya, seseorang stylist perlu mempunyai kebolehan mencipta penampilan, mengubah suai dan menambah baik sesuatu gaya supaya dapat menyerlahkan kelebihan individu yang digayakan,” jelasnya.
Ujarnya lagi, setiap stylist juga mempunyai identiti atau DNA tersendiri yang membezakan hasil kerja mereka.
Bagi Tym, perkara paling penting ialah memahami individu yang digayakan, termasuk personaliti, bentuk tubuh, lokasi, tujuan kehadiran dan jenis acara yang bakal dihadiri. Semua aspek tersebut perlu dinilai kerana pakaian yang sesuai untuk satu acara belum tentu praktikal atau bersesuaian untuk acara lain.
Dalam masa sama, Tym tidak menjadikan individu yang digayakan sebagai cerminan dirinya sendiri, sebaliknya berusaha menghasilkan penampilan yang sesuai dengan karakter dan keperluan mereka.
Mengakui bidang fesyen bersifat subjektif kerana setiap orang mempunyai pandangan serta cita rasa tersendiri, Tym menganggap penerimaan terhadap perbezaan pendapat sebagai antara cabaran yang perlu dihadapi sepanjang bergelar stylist.
Walaupun dilantik berdasarkan pengetahuan dan kemahiran, Tym tidak terlepas daripada berdepan pandangan yang berbeza atau penolakan hanya kerana cita rasa peribadi pihak tertentu.
Namun, pengalaman tersebut mengajarnya untuk terus berpegang pada prinsip profesional dan memahami bahawa setiap hasil kerja memerlukan pertimbangan berdasarkan tujuan serta konsep yang ingin disampaikan.
Menariknya, Tym tiada seorang figura fesyen khusus yang dijadikan rujukan sepanjang masa. Sebaliknya, dia memilih inspirasi berdasarkan konsep dan estetika ingin diketengahkan dalam setiap projek.
“Jika mahu menghasilkan penggayaan berunsurkan Bollywood, misalnya, saya akan merujuk figura fesyen dari rantau berkenaan. Namun, dalam industri seni tempatan, Chelek antara individu yang cukup saya hormati kerana menganggap beliau sebagai insan seni yang mempunyai pemikiran kreatif luar biasa,” ujarnya.
Meskipun sudah melalui pelbagai pengalaman serta menerima pengiktirafan dalam bidang yang diceburi, Tym tidak pernah menetapkan sasaran terlalu besar dalam kerjayanya.
Sebaliknya, dia menganggap peluang untuk terus berkarya, menimba ilmu dan mencabar kemampuan diri sebagai pencapaian yang cukup bermakna.
Bagi anak muda yang berminat menceburi bidang penggayaan fesyen, Tym menasihatkan agar tidak hanya tertarik dengan hasil akhir yang cantik, sebaliknya perlu belajar menghargai proses di sebaliknya.
Ini kerana kerjaya stylist memerlukan gabungan ilmu, penyelidikan, kreativiti, disiplin dan kesabaran, selain kesediaan untuk bermula dari bawah serta menerima teguran.
“Jangan hanya jatuh cinta dengan hasil yang cantik, tetapi belajarlah mencintai proses di sebaliknya. Kita perlu sanggup bermula dari bawah, menerima teguran dan jangan pernah rasa kita sudah cukup bagus untuk berhenti belajar,” katanya.














