Drama AI mudah melekat adalah visual wataknya yang semakin realistik sehingga sukar dibezakan dengan manusia sebenar.

Penangan ‘kartun berupa manusia’, kita semua terjebak!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEWAKTU melilau dalam Facebook beberapa hari lalu, melintas pula satu status bertulis: ‘Anda kenal Ethan? Whitmore? Sterling, Blackwood Family? Tahniah, anda sudah ketagih drama AI!

Kemudian, membaca komen-komen yang hampir semuanya ditinggalkan nama-nama dikenali semuanya menggeletek hati, seraya terdetik, ‘benarlah penangan drama AI sedang berleluasa’.

Rakan-rakan sebaya, malah ada dalam kalangan generasi ‘baby boomers’ juga mengakui terjebak sama.

Rasa-rasanya, khalayak juga sudah cukup kenal dengan kisah wanita yang melahirkan anak naga, gadis buangan yang mampu menumbuhkan apa sahaja tanaman, cinta puteri duyung, bos mafia tampan, ‘alpha wolf’, raja naga atau jutawan misteri yang terhidang dalam media sosial ketika ini.

Jika satu atau semua daripada ‘resipi’ itu ada dalam benak kalian, amaran awal harus dikenal pasti. Hidup anda kini ‘diselimuti’ pengaruh hiburan kecerdasan buatan (AI) atau secara spesifiknya disebut Artificial Intelligence Generated Content (AIGC).

Dengan durasi pendek sekitar 60 hingga 90 saat, sesiapa pun mudah ralit menyaksikan hero dan heroin, malah antagonis berwajah sempurna walaupun kelihatan sama berulang kali muncul dalam hampir setiap kisah berhukum karma, baik dalam latar moden mahupun fantasi.

Apa yang menjadikan drama AI mudah melekat adalah visual watak-wataknya yang semakin realistik sehingga sukar dibezakan dengan manusia sebenar.

Selain drama manusia, genre pelik seperti drama buah-buahan atau haiwan, contohnya kisah cinta strawberi atau pisang jutawan, semua itu turut tular kerana keunikannya. Lucu bukan?

Sejak setahun lalu, sedutan percuma drama-drama AI dengan mudahnya dapat diakses menerusi Facebook, TikTok dan Instagram tanpa perlu dicari.

Dalam platform penstriman seperti ReelShort, DramaBox dan DailyMotion pula sedang berlegar ribuan judul klise yang mudah menangkap penggemar hiburan ringan. Ada yang percuma dan jika mahukan akses lebih pantas tanpa gangguan, haruslah dilanggan.

Di sebalik keterujaan penonton melayan hiburan segera ini, bagaimana jika ledakan AIGC bakal menjadi ancaman terhadap industri sinema konvensional.

Ketika produksi filem tradisional waima studio besar perfileman Hollywood pun bergelut dengan bajet besar untuk membayar pelakon sebenar, menyewa lokasi, menguruskan logistik yang rumit serta menyediakan kostum dan set penggambaran, drama AI ‘made in China’ mampu dihasilkan pada kos jauh lebih rendah dan pantas tanpa kru yang ramai.

Perubahan ini bukan sahaja berpotensi menggugat periuk nasi penggiat seni di belakang dan hadapan tabir, malah turut mengubah selera penonton yang semakin terbiasa dengan kepuasan segera.

Jika trend ini terus mendominasi, sinema konvensional nampak berdepan satu lagi cabaran besar untuk terus menarik penonton ke pawagam, sekali gus memaksa pembikin mencari nilai tambah dan sentuhan kemanusiaan yang tidak mampu ditiru teknologi mesin atau dilakukan pelakon-pelakon kartun bertopeng manusia dalam drama AI.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN