Mayat Azim Danial yang ditemukan lemas tiba di Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu malam ini. Foto oleh ROHANA MOHD.NAWI/KOSMO!

[KEMASKINI] Jasad Azim Danial dijumpai selepas tiga kali selaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Selepas lebih dua jam hilang, jasad seorang remaja lelaki ditemukan di dasar sungai dalam keadaan tertiarap setelah pasukan penyelamat melakukan tiga kali selaman di Kampung Pulau Belacan, di sini, malam ini.

Mayat Muhammad Azim Danial Abdul Hadi, 13, yang dijumpai pada kedalaman 4.57 meter dibawa ke tebing sebelum diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Ibu mangsa, Nik Nor Atikah Abdullah, 32, berkata, sebelum kejadian, anaknya bersama lima rakan keluar ke sungai tersebut untuk mencari lala.

“Sewaktu dia (anak) keluar, saya tiada di rumah kerana pergi ke rumah emas di Kampung Kemumin. Ketika dalam perjalanan, saya ternampak dia menunggang motosikal bersama rakan-rakannya.

“Saya tidak tahu anak saya pergi ke sungai tetapi dia ada beritahu suami dan meminta wang RM10 sebelum keluar,” katanya ketika ditemui malam ini.

Nik Nor Atikah berkata, dia mengetahui anaknya lemas selepas dihubungi suaminya sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebelum ini saya pernah melarang anak supaya tidak keluar rumah. Saya terkejut bila mendapat tahu dia keluar tanpa pengetahuan saya.
Saya dimaklumkan rakan-rakan anak saya, mereka mandi sambil mencari lala.

“Anak saya cuba diselamatkan oleh rakannya tetapi gagal kerana dia tidak memakai baju ketika mandi,” katanya.

Jenazah Muhammad Azim Danial dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa, esok.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN