SUNGAI BULOH – Mayat seorang lelaki yang masih belum dikenal pasti identitinya ditemui hanyut di sungai berhampiran Kampung Merbau Sempak di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz bin Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awa berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 9.35 pagi.
“Si mati merupakan seorang lelaki berbadan berisi dan mempunyai tatu berbentuk bintang di bahagian kanan leher.
“Mayat ditemukan dalam keadaan tidak berbaju, hanya memakai seluar jeans berwarna biru serta stokin. Pemeriksaan turut mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, keadaan kulit pada bahagian lengan kiri mayat yang mengalami kerosakan turut menyukarkan proses pengecaman identiti.
Katanya, bedah siasat telah dijalankan pada Jumaat lalu di Hospital UiTM Puncak Alam oleh pakar patologi forensik.
“Hasil bedah siasat mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil membantu polis bagi mengesan waris serta mengenal pasti identiti lelaki berkenaan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Hafiz bin Seleman menerusi talian 016-4507492 atau IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222. – KOSMO! ONLINE














