SEMPENA Hari Antarabangsa Menentang Ujian Nuklear pada Ogos lalu, satu persidangan untuk membincangkan mengenai kesan senjata tersebut kepada manusia dalam alam sekitar telah diadakan di Nairobi, Kenya.
Perhimpunan itu turut memperingati ulang tahun ke-81 tragedi pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun.
Hakikatnya, selepas peristiwa tersebut, nuklear terus meninggalkan kesan kemusnahan berpanjangan terhadap manusia dan alam sekitar sejak mula diuji serta digunakan pada tahun 1945.
Bermula daripada ujian sulung di gurun New Mexico, Amerika Syarikat yang dikenali sebagai ‘Ujian Trinity’, pelbagai generasi terus menanggung derita akibat lebih daripada 2,000 letupan nuklear yang telah dijalankan di seluruh dunia.
Namun, kesan buruk senjata nuklear bukan sekadar sejarah silam. Hari ini, kerajaan di serata dunia dilaporkan terus menyalurkan berbilion dolar ke dalam industri persenjataan yang bakal memusnahkan manusia dan ekosistem global.
Sebaliknya, dana itu boleh disalurkan untuk menangani krisis iklim yang semakin meruncing akibat ujian senjata nuklear.
Kesemua sembilan negara bersenjata nuklear pernah melaksanakan ujian letupan di pelbagai pelosok bumi.
Sejarah ujian nuklear turut dibayangi elemen kolonialisme kerana sebahagian besar ujian dijalankan di wilayah lain tanpa pengetahuan atau persetujuan penduduk setempat.
Tindakan itu mencetuskan pelbagai penyakit kronik, trauma psikologi, pemindahan paksa, serta pencemaran alam sekitar. Malah, komuniti yang terjejas terus berdepan implikasi kesihatan sehingga ke peringkat rentas generasi.
Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merangkap Pengarah Eksekutif Program Alam Sekitar PBB (UNEP), Inger Andersen berkata, di sebalik kesedaran global mengenai bahaya tersebut, percambahan senjata nuklear masih berterusan di seluruh dunia.
Katanya, sehingga Jun lalu, terdapat sebanyak 9,745 kepala peledak nuklear di peringkat global dengan peningkatan hampir 500 unit sejak 2018.
“Penggunaan sebahagian kecil daripada senjata ini bukan sahaja mampu mengorbankan jutaan nyawa, malah mencetuskan impak global yang dahsyat seperti kemusnahan lapisan ozon, penyejukan global yang ekstrem, serta kebuluran.

“Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan konflik dalam kalangan negara kuasa nuklear, pertambahan perbelanjaan ketenteraan dan retorik berbahaya yang kian membimbangkan,” katanya dalam portal UN Environment Programme.
Hakikatnya, penyelidikan membuktikan bahawa pendedahan kepada radiasi mengion memberi kesan berbeza mengikut faktor biologi dan jantina.
Penganalisis alam sekitar, Mary Olson menegaskan bahawa kaum wanita, khususnya yang terdedah kepada nuklear sewaktu zaman kanak-kanak berdepan kadar kanser sepanjang hayat serta kerosakan sistem pembiakan yang jauh lebih tinggi berbanding lelaki.
“Letupan ujian turut mengakibatkan peningkatan kes kecacatan kongenital dan kematian pramatang. Sebagai contoh, di Kepulauan Marshall, AS telah menjalankan 67 ujian nuklear di Atol Bikini dan Enewetak.
“Wanita tempatan mencatatkan kadar keguguran dan kelahiran mati yang membimbangkan,” ujarnya.
Menurut laporan Marshallese Educational Initiative, sebilangan wanita melahirkan bayi yang disifatkan sebagai ‘bayi obor-obor’ akibat ketiadaan struktur tulang serta kulit yang lut sinar, selain kelahiran gumpalan tisu menyerupai buah anggur.
Tragedi serupa turut direkodkan di tapak ujian lain, termasuk Kazakhstan iaitu lokasi Kesatuan Soviet melancarkan lebih 450 ujian nuklear yang mengakibatkan keguguran berterusan serta kecacatan kelahiran selama berdekad-dekad.
Di Ma’ohi Nui (Polinesia, Perancis), di mana negara itu menjalankan lebih 193 ujian nuklear, kajian melaporkan peningkatan luar biasa kes kanser tiroid, leukemia mieloid, serta kecacatan kelahiran.
Di samping masalah kesihatan, penyebaran sisa radioaktif global telah merosakkan ekosistem secara menyeluruh, serta pencemaran yang kekal mencengkam wilayah seperti Atol Bikini dan Ma’ohi Nui sehingga hari ini.
Di sebalik rekod kemusnahan tersebut, perbelanjaan ketenteraan global sebaliknya terus meningkat. Walaupun ujian letupan fizikal kini dihentikan buat sementara waktu, namun dana pembangunannya mencatatkan rekod tertinggi.
Situasi ini mencerminkan krisis keutamaan dasar yang serius. Pemikiran politik didapati semakin terarah kepada takrifan keselamatan yang sempit dan berbahaya, tatkala ancaman gelombang haba, kemarau, serta kebakaran hutan terus memecahkan rekod di pelbagai benua.
Ketika ini, semua negara telah terikat di bawah Perjanjian Paris dan Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC). Komitmen itu telah diperkukuh secara muktamad oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menerusi Pendapat Nasihat 2025.
Mahkamah menegaskan bahawa setiap negara mempunyai kewajipan mengikat di bawah undang-undang antarabangsa untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius, mencegah kemusnahan alam sekitar dan melindungi generasi masa kini serta hadapan.
Kini, pilihan berada di tangan para pemimpin dunia, sama ada ingin terus menyalurkan berbilion dolar untuk persenjataan yang mengancam kelangsungan hidup bersama, atau mengalihkan sumber tersebut demi menangani krisis iklim.














