INTERLAGOS – Prinsipal pasukan Ferrari, Fred Vasseur mengesahkan ketegangan antara dua pemandunya, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc berjaya diredakan selepas mengadakan pertemuan khas bagi menyelesaikan perselisihan susulan insiden di Grand Prix (GP) Mexico.
Pertemuan itu diadakan ketika GP Sao Paulo di Brazil minggu lalu selepas kedua-dua pelumba terbabit bertembung pada pusingan pertama di Mexico, sekali gus mencetuskan ketegangan dalam pasukan.
Hamilton sebelum ini mendakwa insiden berkenaan menyebabkan Ferrari kehilangan peluang meraih kemenangan dan keputusan satu-dua.
Vasseur bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci perkara yang dibincangkan, sebaliknya menegaskan kepentingan pasukan perlu menjadi keutamaan mengatasi persaingan antara kedua-dua pelumba.
“Sejujurnya, kami mengadakan perbincangan yang baik pada Jumaat. Kami sudah menyelesaikan perkara itu dan berjaya menetapkan semula pendekatan masing-masing,” katanya.
Juara dunia tujuh kali, Hamilton turut mengesahkan hubungan mereka kembali baik selepas diberi ruang untuk menyuarakan pandangan masing-masing secara terbuka.
Sementara itu, Leclerc mengakui ketegangan dalam persaingan sesama rakan sepasukan tidak dapat dielakkan memandangkan kedua-duanya mahu menamatkan perlumbaan di hadapan satu sama lain.
“Sudah tentu wujud ketegangan kerana kami mahu menamatkan perlumbaan di hadapan satu sama lain. Ada kalanya kami mungkin tidak sependapat dalam melihat sesuatu situasi, tetapi perbincangan mengenai perkara seperti itu banyak membantu,” katanya. -AGENSI














