Hamilton bergambar bersama sukarelawan Bulan Sabit Merah Mesir ketika mengadakan lawatan ke kawasan sempadan Rafah, Mesir bagi meninjau bantuan kemanusiaan ke Gaza. – AGENSI

Hamilton desak Israel patuhi gencatan senjata, bagi trak bantuan masuk Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAHERAH – Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton menggesa Israel supaya segera membuka laluan lintasan sempadan Rafah bagi membenarkan ratusan trak bantuan kemanusiaan yang terkandas masuk ke Semenanjung Gaza.

Pemandu utama pasukan Ferrari itu membuat gesaan berkenaan selepas mengadakan lawatan mengejut ke bahagian sempadan Rafah di Mesir pada Selasa lalu, sejurus menamatkan perlumbaan Grand Prix São Paulo di Brazil.

Menerusi satu hantaran di media sosial semalam, Hamilton menyifatkan situasi sekatan bantuan di pintu masuk berkenaan sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan menuntut Israel mematuhi syarat perjanjian gencatan senjata.

“Israel mesti menunaikan tanggungjawab mereka di bawah perjanjian gencatan senjata dan membenarkan trak bantuan ini masuk,” katanya seperti dipetik daripada laporan portal berita sukan, Sky Sports.

Dalam lawatan yang turut diiringi Gabenor Sinai Utara, Khaled Megawer serta sukarelawan Bulan Sabit Merah Mesir di El Arish, Hamilton berpeluang meninjau sendiri gudang logistik serta bersemuka dengan pemandu trak yang terkandas.

Menurut Hamilton, pemandu trak pertama di barisan hadapan memaklumkan kepadanya bahawa mereka sudah menunggu lebih 12 jam tanpa sebarang kepastian untuk melepasi sempadan.

Lebih mengejutkan, pelumba Britain berusia 41 tahun itu mendedahkan banyak barangan keperluan asas ditolak daripada memasuki Gaza atas alasan yang disifatkannya sebagai ‘gila’.

“Antara barangan yang ditolak termasuklah beg tidur, peti pertolongan cemas, peralatan perubatan, kerusi roda, malah bola sepak untuk kanak-kanak,” ujarnya.

Tambah Hamilton, beliau tidak mahu masyarakat dunia menjadi lali dengan penderitaan berterusan di Gaza yang disifatkannya sebagai satu tindakan genosid dan ketidakadilan berpanjangan sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, portal berita antarabangsa Al Jazeera melaporkan lawatan Hamilton tersebut berlangsung ketika situasi kemanusiaan di Gaza semakin meruncing akibat hujan lebat yang menenggelamkan khemah-khemah pelarian.

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan lebih 150,000 khemah musim sejuk yang dibeli oleh rakan kemanusiaan masih tersadai di luar Gaza sementara menunggu kelulusan masuk daripada pihak berkuasa Israel. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN