fbpx
ANTONELLI mengesahkan gelaran juara dunia bagi musim ini biarpun sekadar meraih tempat ketiga pada perlumbaan GP Mexico awal pagi semalam. - AFP

F1: Antonelli harungi musim cemerlang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEXICO CITY – Kimi Antonelli melakar sejarah gemilang apabila dinobatkan sebagai juara dunia Formula Satu (F1) termuda, sekali gus menamatkan penantian 73 tahun Itali selepas menamatkan Grand Prix (GP) Mexico City di tempat ketiga, semalam.

Kejayaan di Autodromo Hermanos Rodriguez itu menyaksikan pemandu Mercedes berkenaan meraih gelaran dunia pada usia 20 tahun 68 hari sekali gus memadam rekod Sebastian Vettel dengan jurang lebih tiga tahun.

Lebih manis, Antonelli menjadi pelumba Itali pertama menjulang mahkota kejuaraan berprestij itu sejak Alberto Ascari melakukannya bersama Ferrari pada 1953.

“Saya amat bersyukur dengan kejayaan ini dan ia sesuatu yang akan saya kenang sepanjang hayat. Saya benar-benar terkejut dengan apa yang terjadi dan masih cuba memahami apa yang sudah berlaku.

“Kami berjaya melakukannya untuk bergelar juara. Tanpa mereka, saya tidak akan berada di sini. Tanpa Mercedes dan keluarga saya, semua ini tidak mungkin tercapai.

“Ini adalah musim yang luar biasa dan berkongsi podium bersama Max (Verstappen) dan Lewis (Hamilton) sememangnya sesuatu yang sangat istimewa. Saya juga tidak sabar untuk menghadapi lebih banyak persaingan bersama mereka pada masa depan,” katanya.

Antonelli turut mengakui berdepan tekanan lebih besar sepanjang minggu perlumbaan, namun lega apabila berjaya menyelesaikan misi kejuaraan sebelum menikmati baki saingan musim ini.

“Hujung minggu ini saya berasa sedikit lebih tertekan, tetapi saya sangat gembira kerana akhirnya kami berjaya melakukannya. Kini, kami boleh menikmati baki musim ini,” katanya.

Perlumbaan tersebut dimenangi pelumba Red Bull, Max Verstappen dan melengkapkan kemenangan keenamnya selepas menamatkan saingan itu dengan kelebihan 0.799 saat di depan Hamilton, manakala Antonelli ketinggalan 3.207 saat di tempat ketiga. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN