KUALA LUMPUR – Penganjuran Selangor Muaythai League (SML) sepanjang tahun ini terbukti mula membuahkan hasil apabila menjadi platform terbaik bagi mencungkil bakat baharu dalam sukan tempur itu.
Antara yang mencuri tumpuan adalah Aina Qaisara daripada Lekir Fight Team apabila muncul juara kategori Super 4 Amateur remaja wanita 45 hingga 50 kilogram (kg) pada Grand Finale SML Vol 5.0 selepas menumbangkan Nur Aireen Qistina.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Selangor (PMNS), Muhammad Amir Luqman berkata, aksi dipamerkan Aina membuktikan objektif penganjuran bagi melahirkan pelapis baharu sukan muay thai negeri berjaya dicapai.
Menuru beliau, lima siri yang berlangsung sepanjang saingan musim ini memberi ruang kepada atlet akar umbi mendapatkan pengalaman bertanding selain membolehkan persatuan mengenal pasti bakat untuk digilap.
“Alhamdulillah, kami berjaya melengkapkan lima siri kejohanan tahun ini dan melahirkan atlet amatur terbaik di Selangor.
“Melalui pertandingan ini, kami dapat mengenal pasti atlet yang berpotensi dan tahun depan tumpuan diberikan kepada usaha memperkasakan mereka untuk bersaing di peringkat kebangsaan serta Asia,” katanya.
Kategori Super 8 Amateur dan Super 4 Amateur dianggap memainkan peranan cukup penting dalam pembangunan sukan itu kerana menyediakan pentas kompetitif buat petarung-petarung muda bagi menguji kemampuan.
PMNS yang kini dalam misi melakukan persiapan menghadapi Kejohanan ASEAN Muaythai akan meletakkan sandaran kepada barisan petarung yang sudah dikenal pasti menerusi SML untuk masa hadapan.
Sementara itu, acara utama kategori Super 4 profesional lelaki 60kg menyaksikan Jawtapee dari Panthera Gym, Thailand menewaskan Nabi Mohebi dari Afghanistan yang mewakili Jordan Top Team.
Muhammad Amir menjelaskan, PMNS memberikan sepenuh komitmen untuk meneruskan penganjuran liga itu tahun depan dengan fokus diberikan kepada pembangunan atlet dan pendedahan di pentas antarabangsa. – KOSMO! ONLINE
















