Kontinjen Cemara Seni Malaysia berjaya memenangi dua pingat emas bagi dua kategori yang disertai iaitu Folk Dance Ensemble dan Folk Instrumental Groups pada International Competition Dance and Music Mediterranean Folkfest Lloret de Mar di Sepanyol baru-baru ini.

Cemara Seni Malaysia cemerlang di Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SORAKAN kegembiraan dan kibaran Jalur Gemilang menjadi saksi kejayaan sekumpulan anak muda mengharumkan nama Malaysia menerusi seni tari di pentas antarabangsa.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila dinobatkan johan (1st prize) atau pemenang pingat emas bagi kategori Folk Dance Ensemble (Tarian Rakyat Berkumpulan) dalam International Competition Dance and Music Mediterranean Folkfest Lloret de Mar 2026 di Sepanyol baru-baru ini.

Di sebalik detik membanggakan itu, tersimpan kisah latihan yang panjang, pengorbanan masa dan debaran yang mengiringi setiap langkah di pentas pertandingan.

Bagi penari muda, Muhammad Iman Qaliph Mohamad Saipol Bahri, 16, pengalaman di Sepanyol bukan sekadar tentang kemenangan, malah menjadi perjalanan untuk mengenal erti disiplin, kebersamaan dan kebanggaan mewakili tanah air.

Katanya, pengalaman itu lebih bermakna apabila peserta dari sekolah-sekolah berbeza berjaya mengetepikan perbezaan, membina keserasian dan berganding bahu demi mencapai matlamat yang sama.

“Sebelum melakukan persembahan, perasaan saya bercampur baur, gementar, bangga dan teruja, tetapi, apabila muzik bermula, saya terus lupa rasa gementar dan hanya ingat untuk membawa nama Malaysia.

“Apabila diumumkan sebagai johan kategori Folk Dance Ensemble, kami semua menjerit dan berasa sangat gembira. Saat Jalur Gemilang dikibarkan, itulah momen paling membanggakan dalam hidup saya,” katanya kepada K-Remaja.

Bukan hanya memenangi kategori Folk Dance Ensemble, kontinjen Cemara Seni Malaysia yang dikendalikan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor turut mencipta kejayaan apabila meraih johan atau pingat emas bagi kategori Folk Instrumental Groups yang turut dipersembah guru-guru.

Kontinjen yang diketuai oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putra, Noridah Abdul Aziz itu terdiri daripada 40 murid dan guru dari Jabatan Pendidikan Negeri Selangor serta Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

Kejayaan dalam kategori Folk Dance Ensemble melibatkan murid berusia 9 hingga 17 tahun dibimbing oleh pengarah seni, Mohd. Zulhafiz Mohd. Zubir dan Mohamed Hanafi Wahab, manakala kategori Folk Instrumental Groups diterajui oleh Noridah sendiri bersama Zamir Nafiz Zulkifli.

Kontinjen berkenaan melibatkan peserta daripada 14 buah sekolah rendah dan menengah di Selangor iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putra, SK Bukit Jelutong, SK Kampung Medan, SK Tengku Bendahara Azman 1, SK Taman Pelangi, SK Seksyen 24, SK Pelabuhan Utara, SK Sungai Pusu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)

Seksyen 16, SMK Seri Gombak, SMK Bukit Jelutong, SMK Bandar Rinching, SMK Sijangkang Jaya dan SMK Bandar Sultan Suleiman, selain SMK Tunku Ampuan Najihah di Negeri Sembilan.

Pertandingan itu melibatkan penyertaan lapan negara antaranya Bulgaria, Ukraine, Jerman dan lain-lain.

Mengulas lanjut mengenai kategori Folk Dance Ensemble, seorang lagi penari muda, Muhammad Diniy Hafiz Zairel, 16, berkata, dia bersama beberapa penari lelaki mempersembahkan Tari Pencak yang menggabungkan gerak langkah silat dengan seni tari.

Busana melambangkan seni budaya Malaysia yang indah turut dipersembahkan dalam pertandingan seni tari itu.

Menurutnya, persediaan dilakukan secara berkala sejak April dengan latihan selama tiga hingga empat hari setiap bulan bagi memastikan setiap pergerakan dapat dilakukan dengan tepat dan serasi.

“Cabaran paling besar adalah memastikan semua ahli kumpulan dapat melakukan gerak dengan tepat dan tangkas, terutama langkah silat, sebelum diserapkan ke dalam gerak tari supaya persembahan kelihatan menarik dan mempesona penonton serta juri.

“Alhamdulillah, kami dapat memberikan yang terbaik ketika pertandingan walaupun sehari sebelum persembahan, kaki saya terseliuh,” katanya.

Sementara itu, Noridah selaku ketua kontinjen berkata, penyertaan mereka dalam pertandingan antarabangsa itu bermula daripada inisiatif pegawai Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor yang mahu membawa bakat seni murid ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Guru Besar SK Bandar Seri Putra itu, idea berkenaan dicetuskan oleh ketua penolong pengarah, Fadzilah Rosdi dan penolong pengarah Unit Pembangunan Bakat

Murid, Rosmonaliza Ahmad sebelum kontinjen menerima jemputan rasmi untuk menyertai festival antarabangsa di Sepanyol.

“Objektif utama kami bukan sekadar bertanding, tetapi menjadi duta budaya Malaysia, memberikan pendedahan antarabangsa kepada 40 murid dan guru serta membuktikan seni tradisional negara mampu berdiri megah di mata dunia.

“Pemilihan peserta dibuat berdasarkan saringan bakat, komitmen dan disiplin di peringkat sekolah serta daerah.

“Murid-murid yang terpilih bukan sahaja mempunyai kebolehan dalam tarian dan muzik tradisional, malah jati diri yang kukuh.

“Cabaran paling besar adalah menyatukan 40 murid dan guru daripada latar belakang sekolah berbeza sehingga menjadi satu keluarga.

“Jadual persekolahan, jarak dan sikap kekok pada peringkat awal antara cabaran yang perlu diatasi.

“Namun, kami bersama guru pengiring dan koreografer sentiasa menekankan nilai hormat, disiplin serta kerjasama. Perbezaan itu akhirnya menjadi kekuatan apabila mereka mula makan, berlatih dan hadapi cabaran bersama,” kata Noridah.

Mengulas keistimewaan persembahan yang membawa pulang dua gelaran johan itu, Noridah berkata, kontinjen berkenaan mengekalkan keaslian seni tari dan muzik tradisional Malaysia, di samping mengetengahkan persembahan yang bertenaga, tersusun dan sarat dengan identiti budaya tempatan.

Menurutnya, gabungan kostum berwarna-warni, iringan muzik rancak menggunakan alat tradisional seperti gamelan dan kompang serta koreografi yang kemas menjadi antara elemen yang menyerlahkan persembahan mereka.

“Keistimewaan kami ialah jiwa Malaysia itu sendiri. Kami mahu penonton dan juri melihat keikhlasan serta kebanggaan yang dibawa oleh setiap peserta ketika mempersembahkan budaya sendiri.

“Lebih membanggakan, penyertaan itu turut memperlihatkan perkembangan positif dalam kalangan murid, khususnya dari segi keyakinan diri, disiplin dan semangat berpasukan,” katanya.

Noridah berkata, murid yang sebelum ini pemalu mula berani berkomunikasi di hadapan penonton antarabangsa, manakala tanggungjawab menjaga kostum, bangun awal dan membantu rakan menjadi sebahagian daripada rutin mereka sepanjang program.

Katanya, kehadiran peserta seawal usia sembilan tahun turut membuktikan seni budaya mampu menjadi wadah pembentukan sahsiah dan kematangan diri sejak usia muda.

“Ini bukan sekadar tentang pingat atau kemenangan, tetapi bukti bahawa seni budaya kita masih hidup, mempunyai nilai tersendiri dan relevan untuk generasi muda hari ini. Apabila diberikan peluang, platform dan kepercayaan, anak-anak kita mampu menyerlah serta mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN