KULAI – Taktik menjadikan sebuah stor bersebelahan asrama pekerja di bandar sebagai lokasi menyimpan minuman keras dan rokok tidak bercukai gagal apabila berjaya dihidu pihak berkuasa selepas diserbu polis melalui Op Taring Landai, kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang itu, pihak berkuasa berjaya merampas arak dan rokok tidak bercukai selain menahan seorang lelaki dewasa warga asing yang berada dalam premis berkenaan.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, serbuan dilakukan sepasukan Unit Risik PPM Wilayah Dua, Tampoi hasil maklumat awam berkaitan aktiviti kontraban di daerah ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut dalam stor terbabit menemui sejumlah kotak berisi pelbagai jenis minuman keras dan karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM670,571.94 secara keseluruhan.
“Antara barangan yang dirampas membabitkan 12,074 tin minuman keras pelbagai jenama dan 526 botol wain putih yang keseluruhan minuman keras itu bernilai RM451,947.94 serta 896 karton rokok pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM218,624
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek turut mendapati pasport miliknya sudah mempunyai cop keluar dari Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam. – KOSMO! ONLINE
















