BEIJING – Sebuah robot setinggi 4 meter yang kelihatan seperti dalam filem Transformers telah diperkenalkan kepada orang awam, lapor laman berita Metro.co.
Syarikat China, NeodraDynamics Robotics bersama firma JD Industrial melancarkan robot hidraulik tugas berat utamanya yang dinamakan Neo1, pada Pameran Industri Antarabangsa China (CIIF) 2026, baru-baru ini.
Sistem kawalan hibrid hidraulik-elektrik mesin tersebut mengatasi sesetengah robot humanoid berkuasa elektrik sepenuhnya dengan menawarkan kuasa, kejituan dan daya tahan lebih tinggi.
Neo1 direka untuk melakukan tugas ‘4D’ iaitu berbahaya, kotor, sukar dan membosankan yang boleh menimbulkan risiko atau kesukaran ketara kepada pekerja manusia.
“Robot tidak sepatutnya hanya meniru bentuk manusia tetapi mengatasi had fizikal manusia untuk mencipta keupayaan operasi yang belum pernah ada sebelum ini,’ kata Pengasas NeodraDynamics, Yang Tao.
Menurutnya, Neo1 direka untuk berkhidmat di persekitaran di mana penglibatan manusia mungkin berbahaya atau tidak praktikal. – AGENSI
















