KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) mengenal pasti Turkiye sebagai negara pilihan untuk membekalkan misil alternatif bagi menggantikan peluru berpandu anti-kapal (NSM) dari Norway yang telah dibatalkan sebelum ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerian menilai beberapa negara termasuk Turkiye, Perancis dan Itali berdasarkan aspek harga, tempoh penyerahan serta kos.
Beliau berkata, Mindef akan memulakan rundingan lanjut dengan pihak Turkiye sebelum memuktamadkan proses perolehan misil berkenaan.
“Kita putuskan bahawa misil daripada negara Turkiye itu adalah yang terbaik untuk kita pertimbang bagi menggantikan peluru berpandu NSM daripada negara Norway.
“Kita akan berurusan dengan pihak Turkiye untuk kita runding secara lebih lanjut supaya kita dapat memuktamadkan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, isu keserasian misil berkenaan dengan sistem pengurusan tempur (CMS) kapal turut diberi perhatian dan pihaknya telah menerima jaminan mengenai aspek keserasian serta integrasi sistem.
Beliau berkata, sekiranya proses tempahan berjalan lancar, misil berkenaan dijangka dapat dibekalkan seawal 2028 berikutan terdapat bekalan yang boleh diperoleh lebih awal menerusi tempahan untuk kapal Kapal Misi Pesisir (LMS).
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, Mindef akan meneruskan proses penyelesaian pertikaian dengan pihak Norway berhubung kegagalan pembekalan misil NSM yang telah dibayar Malaysia.
Beliau berkata, kementerian kini dalam proses mewujudkan Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian selepas rundingan penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak tidak mencapai hasil.
“Sekiranya proses itu gagal, Malaysia akan meneruskan tindakan melalui timbang tara seperti yang diperuntukkan dalam kontrak perolehan berkenaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
















