PETALING JAYA – Dewan Rakyat hari ini gamat apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mencuri perhatian apabila menyatakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menjemputnya pada salah satu daripada tiga kenduri perkahwinannya baru-baru ini.
“Kecil hati sikit dia tak panggil saya. Ingat-ingat rapat dah, lupa kali ini dia terlepas. Tiga tempat pula tu buat, sekali pun tak kena,” katanya dalam ketawa.
Bagaimanapun, Syed Saddiq segera membalas kenyataan tersebut dengan menunjukkan telefon bimbitnya sebagai bukti bahawa jemputan sudah dihantar.
“Saya dah jemput, ada nombor telefon dan mesej kat sini,” katanya.
Situasi itu mengundang reaksi lucu dalam kalangan pengguna media sosial yang turut mengaitkannya dengan buku nota yang sering dibawa Syed Saddiq ke mana-mana.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berseloroh bahawa buku nota tersebut menjadi tempat beliau merekodkan pelbagai perkara penting.
“Ni rupanya kegunaan buku nota Syed Saddiq tu. Terus angkat buku nota sambil cek tarikh di telefon,” komen seorang pengguna.
“Tu gunanya YB Syed Saddiq (YBSS) bawa notebook (buku nota) ke hulu hilir. Siapa tetamu majlis kahwin dia hari itu pun dia catat ya. Jangan main-main dengan YBSS, semua data dia ada,” komen yang lain.
Seorang pengguna @anieqheyri turut menyifatkan Syed Saddiq sebagai individu yang sentiasa peka terhadap perkara di sekelilingnya.
“Salah orang dia nak ‘sound’. Dia tak tengok kot YB dengan buku nota dia dah macam bini nombor dua. Semua benda dia catat,” tulisnya.
“Jangan main-main, ini YB Syed Saddiq. Beliau belajar daripada pengalaman. Ingat senang macam itu sahaja nak fitnah dan kenakan beliau,” komen @tyaa_asri pula. – KOSMO! ONLINE
















