PETALING JAYA – Pengguna KTM Komuter berpeluang menjimatkan sehingga RM366 sebulan menerusi pengenalan Pas MyKomuter50 berharga RM50 yang mula berkuat kuasa 1 Disember depan.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataannya memaklumkan, pas berkenaan membolehkan pengguna yang layak menikmati perjalanan tanpa had selama 30 hari bagi perkhidmatan KTM Komuter terpilih.
Menurut KTMB, inisiatif itu merupakan usaha kerajaan membantu meringankan kos sara hidup rakyat menerusi penyediaan pengangkutan awam yang lebih mampu milik.
“Sebagai contoh, pengguna laluan Tanjung Malim-KL Sentral yang lazimnya membelanjakan RM416 bagi tambang perjalanan selama 30 hari hanya perlu membayar RM50 menerusi pas tersebut.
“Ini membolehkan pengguna menikmati penjimatan sebanyak RM366 atau hampir 88 peratus berbanding tambang biasa.
“Bagi laluan Alor Setar-Butterworth pula, pengguna berpeluang menjimatkan sehingga RM234 atau kira-kira 82 peratus berbanding anggaran tambang biasa sebanyak RM284 bagi tempoh dan kekerapan perjalanan sama,” kata kenyataan itu.
Kata KTMB, pengaktifan pas itu boleh dilakukan mulai 16 November ini dan terbuka kepada warganegara Malaysia berusia tujuh tahun ke atas yang bukan pemegang Pas MyRailLife.
Pengguna boleh membuat pengesahan kelayakan menerusi aplikasi KTM Mobile atau KITS Style dengan memuat naik salinan MyKad atau MyKid, dengan proses kelulusan mengambil masa sehingga tiga hari bekerja.
Selain itu, pengesahan boleh dilakukan serta-merta menerusi mesin kios tiket di semua stesen KTM Komuter atau kaunter stesen dengan mengemukakan MyKad atau MyKid asal.
Selepas pengesahan kelayakan, pembelian pas boleh dibuat menerusi aplikasi KTM Mobile, KITS Style atau kaunter bagi pembelian Kad Komuter Link.
Menurut KTMB, kemudahan pengaktifan dan pembelian disediakan di 34 stesen terpilih melibatkan perkhidmatan KTM Komuter Utara, Lembah Klang dan Shuttle Selatan.
Pas berharga RM50 itu ditawarkan mengikut tiga kategori perkhidmatan iaitu MyKomuter50 Utara, MyKomuter50 Lembah Klang dan MyKomuter50 Shuttle Selatan.
Pengguna turut digalakkan melengkapkan proses pengesahan kelayakan, pengaktifan dan pembelian pada hari sama bagi melancarkan urusan mendapatkan pas berkenaan.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman web www.ktmb.com.my atau Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200. – KOSMO! ONLINE















