Sebanyak 20 ekor lembu bersama sebuah lori disita dalam satu serbuan di Kampung Surau Haji Daud, Kuala Terengganu hari ini. Foto oleh PUQTRA HAIRRY / KOSMO

Helah guna permit lokasi lain bawa masuk lembu terbongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Helah menggunakan permit pemindahan lembu ke lokasi berbeza terbongkar selepas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu menyerbu sebuah kandang di Kampung Surau Haji Daud di sini semalam.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 20 ekor lembu bersama sebuah lori disita dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM50,000.

Ketua Penguat Kuasa Veterinar Terengganu, Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah berkata, siasatan awal mengenal pasti dua individu berusia 45 dan 38 tahun yang dipercayai pasangan suami isteri mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Menurutnya, kegiatan itu terbongkar hasil risikan selama lebih sebulan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai modus operandi pemindahan ternakan yang mencurigakan.

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan membawa 20 ekor lembu dengan dokumen pemindahan yang menyatakan lokasi penghantaran tertentu.

“Bagaimanapun, kita mengesan ternakan tersebut diturunkan di lokasi lain yang tidak dinyatakan dalam permit,” katanya pada sidang akhbar di JPV Terengganu hari ini.

Tuan Anuar berkata, pihaknya mula mengesyaki apabila lori terbabit melalui laluan yang tidak sepatutnya sebelum pasukan penguat kuasa mengekori kenderaan itu dari kawasan Lebuhraya Sekati.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan permit, pihaknya percaya lembu berkenaan dibawa masuk dari negeri jiran namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti asal usul ternakan tersebut.

“Modus operandi seperti ini bukan perkara baharu kerana kes seumpama ini pernah dikesan pada 2023 dan kini ia masih berulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN