KUALA LUMPUR – Kenaikan lebih 100 peratus kadar ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan rata-ratanya mendapat maklum balas cukup positif daripada persatuan sukan serta individu.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi perkembangan cukup positif itu.
Beliau menyifatkan, kenaikan kadar ganjaran SHAKAM melibatkan acara berpasukan bukan sahaja sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian atlet, malah turut menjadi pembakar semangat buat mereka.
“Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari atas pengumuman kenaikan kadar ganjaran SHAKAM acara berpasukan, termasuk Sukan Para Asia dan Sukan Komanwel.
“Inisiatif ini bukan sahaja menjadi suntikan semangat kepada atlet sedia ada, malah turut memberikan motivasi kepada generasi pelapis untuk berusaha mencapai kecemerlangan serta mengharumkan nama negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Taufiq mengumumkan kadar ganjaran SHAKAM bagi acara berpasukan naik sebanyak 166.67 peratus dengan atlet bakal menikmati kenaikan dari RM15,000 kepada RM40,000 seorang bagi pemenang pingat emas Sukan Asia, Para Asia dan Komanwel.
Sementara itu, ganjaran pingat perak pula naik dari RM8,000 kepada RM20,000 seorang manakala pemenang pingat gangsa akan menerima RM10,000 seorang berbanding RM4,000 sebelum ini.
Sebagai rekod, kadar terbaharu itu terpakai kepada semua pemenang pingat pada temasya Sukan Asia dan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 serta Sukan Komanwel Glasgow 2026. – KOSMO! ONLINE
















