fbpx
Gambar Hiasan

Hyrox Kuala Lumpur tidak diluluskan selagi ada tajaan bir – KBS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan meluluskan penganjuran acara Hyrox Kuala Lumpur 2026 selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pendirian itu selaras dengan Kod Sukan Selamat yang melarang syarikat berkaitan produk tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menaja atau mempromosikan aktiviti sukan.

Beliau berkata, permohonan penganjuran acara berkenaan yang dijadual berlangsung pada 10 hingga 13 Disember depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, masih dalam proses dan belum diluluskan.

“KBS juga tidak menyalurkan sebarang peruntukan kewangan bagi penganjuran acara berkenaan.

“Ini termasuk penarikan balik semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan daripada semua saluran rasmi acara serta venue pertandingan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, tular tangkap layar pengumuman sebuah syarikat minuman beralkohol sebagai ‘Official Beer Partner’ bagi acara Hyrox Kuala Lumpur 2026.

Mohammed Taufiq berkata, ketetapan itu terpakai kepada semua penganjur tanpa pengecualian, termasuk syarikat tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol, tanpa mengira jenama atau sasaran pengiklanan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) menetapkan sesebuah syarikat tidak boleh terlibat dalam aktiviti sukan melainkan dilesenkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Pelanggaran peruntukan itu boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“KBS menegaskan tidak akan berkompromi dalam memastikan persekitaran sukan negara kekal selamat dan sihat untuk semua peserta,” katanya lagi.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN