KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikenakan larangan menggunakan telefon serta sebarang alat komunikasi sepanjang menjalani baki tempoh pemenjaraan secara tahanan di rumah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sekatan tersebut adalah antara syarat ketat yang ditetapkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke atas bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan.
Selain sekatan penggunaan gajet dan pergaulan, Najib juga dikenakan kawalan pergerakan dan lawatan, serta diwajibkan menghadiri program pemulihan dan intervensi.
“Najib juga dimaklumkan bahawa beliau tidak boleh berpindah ke rumah, bangunan atau premis lain serta tidak dibenarkan keluar dari alamat ditetapkan, melainkan dengan izin bertulis.
“Bagi tujuan solat, solat Jumaat misalnya, kita akan bawa (ke masjid atau surau), selain beliau dibenarkan tinggal bersama isteri, anak, menantu dan cucu, dan perlu kebenaran bertulis terlebih dahulu,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai syarat khusus yang dikenakan ke atas Najib bagi menjalani baki hukuman tersebut sehingga 23 Ogos 2028.
Menurut Saifuddin, Najib juga tidak dibenarkan menerima sebarang tetamu tanpa kebenaran bertulis, manakala hanya individu yang diluluskan oleh Lembaga Pengampunan sahaja dibenarkan tinggal bersamanya.
Tambahnya, Jabatan Penjara turut diberi kuasa untuk menetapkan syarat tambahan bagi tujuan kawalan dan seliaan, yang mana semua arahan serta tatacara itu telah dimaklumkan kepada Najib sebelum dipindahkan ke kediamannya.
















