PETALING JAYA – Jumlah kelahiran hidup di Malaysia terus menunjukkan trend penurunan apabila sebanyak 92,043 kelahiran direkodkan pada suku tahun ketiga 2026, merosot 7.8 peratus berbanding 99,786 kelahiran dalam tempoh sama tahun lalu.
Lebih membimbangkan, jumlah kematian pula meningkat 8.7 peratus kepada 52,188 kes berbanding 48,001 kes pada suku tahun ketiga 2025.
Berdasarkan Perangkaan Demografi Malaysia Suku Tahun Ketiga 2026 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), daripada keseluruhan kelahiran hidup, bayi lelaki mencatatkan jumlah lebih tinggi iaitu 47,143 kelahiran atau (51.2 peratus), manakala bayi perempuan sebanyak 44,900 kelahiran (48.8 peratus).
Data turut menunjukkan nisbah jantina ketika lahir adalah 105 bayi lelaki bagi setiap 100 bayi perempuan.
Mengikut komposisi etnik, DOSM menjelaskan masyarakat Melayu mencatatkan peratusan kelahiran tertinggi sebanyak 67.2 peratus, diikuti Bumiputera lain (14.2 peratus), Cina (7.7 peratus) dan India (3.8 peratus).
Sementara itu, daripada keseluruhan 52,188 kematian yang direkodkan, lelaki menyumbang sebanyak 29,898 kes atau 57.3 peratus, manakala perempuan sebanyak 22,290 kes (42.7 peratus).
Dari segi kumpulan umur, data DOSM memperlihatkan golongan berusia 60 tahun dan lebih mencatatkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 36,795 kes, diikuti mereka berusia 41 hingga 59 tahun (10,629 kes), 15 hingga 40 tahun (3,739 kes) serta kanak-kanak berumur 14 tahun dan ke bawah (1,025 kes).
Komposisi kematian mengikut etnik pula menunjukkan Melayu mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 52.7 peratus, diikuti Cina (25.7 peratus), Bumiputera lain (10.5 peratus) dan India (8.5 peratus). – KOSMO! ONLINE
















