PETALING JAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang berusaha menangani isu kesesakan perkhidmatan tren termasuk pelbagai cabaran teknikal dihadapi pengendali perkhidmatan itu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
“Ya, sedang diusahakan oleh pihak Rapid KL untuk kita (MOT) menghadapi pelbagai cabaran teknikal. Kita akan cuba menyelesaikan isu-isu teknikal untuk menambah baik (perkhidmatan),” katanya ketika ditemui pada Majlis Jalinan Mesra Kementerian Pengangkutan Bersama Pengamal Media Tamil di sini hari ini.
Pada 30 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Pengangkutan untuk segera menyelesaikan isu kesesakan perkhidmatan tren yang dikhuatiri merencatkan rutin harian rakyat.
Arahan itu susulan rungutan disuarakan seorang individu menerusi platform Threads kepada Anwar mengenai situasi sesak di stesen tren.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, kekerapan perkhidmatan tren ditambah sempena musim Deepavali bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung.
Beliau berkata perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Pantai Barat, termasuk Kedah dan Johor, mendapat sambutan menggalakkan.- Bernama
















