MICHIGAN – Usaha gigih dan kesabaran seorang lelaki dari Detroit, Amerika Syarikat (AS) selama lebih sedekad akhirnya membuahkan hasil apabila bebola gelang getah seberat 5,252 kilogram (kg) yang dihasilkannya diiktiraf secara rasmi sebagai yang terbesar di dunia, lapor saluran berita United Press International.
Claude P. Moore memulakan hobi menghasilkan bebola getah bersaiz kecil untuk mengisi masa terluang ketika menghadiri temu janji rawatan bagi penyakit gangguan darah, hemofilia, yang dihidapinya.Â
Namun pada 2015, cabaran daripada rakan-rakan sekerja telah mendorongnya untuk menghasilkan versi bersaiz luar biasa.
Bagi tujuan pengesahan rasmi pada Ogos lalu, Moore bersama puluhan sukarelawan bertindak menggolekkan bebola gergasi itu keluar dari stor sebelum mengangkatnya menggunakan kren untuk dibawa ke Belle Isle bagi sesi timbang berat.
Pegawai penilai Guinness World Records yang hadir menyaksikan proses penimbangan tersebut mengesahkan ciptaan seberat 5.2 tan itu secara rasmi memegang gelaran bebola gelang getah terbesar di dunia.
Kejayaan tersebut sekaligus meleburkan rekod terdahulu milik seorang lelaki dari Florida, Joel Waul, yang mencatat rekod dengan bebola seberat 4,096 kg pada tahun 2008. – AGENSI
















